Usahawan luar bandar tempa kejayaan menerusi bantuan RISDA
Dengan status sebagai anak pekebun kecil, mereka yang berada di bawah program usahawan bimbingan RISDA terus cemerlang dalam memastikan produk mereka diterima baik oleh pengguna di negara ini.
Usahawan fucuk, Imirus Baser, 58, dari Sertik, Mempaga di Bentong memberitahu,
keputusan untuk beralih bidang dari seorang usahawan kereta terpakai di ibu kota berbaloi dan membuahkan hasil.
Ingin memecahkan monopoli kaum lain, Imirus tampil dengan produk fucuk di bawah syarikat Imirus Trading dengan jenama Mairus yang diusahakannya bersama isteri, Maimunah Zulkifly, 58, hingga kini.
"Saya dan isteri berfikir apa yang kami boleh buat. Kami sepakat menghasilkan fucuk kerana jarang orang Islam mengusahakannya.
"Sejujurnya bukan mudah meneroka bidang ini, saya sendiri melakukan kajian selama enam tahun selain menyertai pelbagai kursus.
"Kini saya berjaya menghasilkan 5,000 hingga 10,000 bungkus fucuk yang diproses di kilang mini yang terletak di Sertik Mempaga," katanya.
Imirus ditemui Sinar Harian sempena Mini Karnival Usahawan Desa (KUD)@Lipis yang berlangsung di Dataran Orang Kaya Haji di sini, pada Jumaat.
Jelasnya, RISDA memainkan banyak peranan penting dalam membantu usahawan sepertinya.
Malah bantuan yang diberikan oleh RISDA juga tidak mengambil masa yang lama dan ini memudahkannya untuk mengembangkan perniagaan.
"Setakat ini saya telah menerima pelbagai bantuan peralatan seperti dapur gas dan pembungkusan bernilai RM30,000. Dengan peralatan ini kami dapat menghasilkan lebih banyak produk.
"Sebelum ini kami hanya guna dapur api dan produktiviti agak lambat," jelasnya sambil memberitahu bantuan yang diterima itu membantu syarikatnya kembali bernafas selepas terjejas teruk akibat Covid-19.
"Selain Pahang, buat masa ini produk fucuk kami telah memasuki pasaran ke beberapa negeri antaranya Johor, Selangor dan Melaka. Sasaran kami selepas ini untuk memasuki ke pasaran hypermarket," ujarnya.
Imirus Trading turut menawarkan produk sampingan seperti taucu dan ikan pekasam.
Pendapatan berganda
Turut berani mengambil risiko, seorang bekas penyelia lombong, Azahari Bakar, 58, dari Kampung Binjai, Lipis yang nekad untuk menceburi bidang pertanian.
Pemilik syarikat TMAZ Binjai ini mengusahakan tanaman jagung manis, nanas jenis MD2 dan tembikai di atas tanah keluasan hampir kira-kira empat hektar.
"Sebenarnya ketika saya nekad berhenti kerja pada 2008, isteri sangat sedih dan takut kerana gaji ketika kerjaya terakhir sebagai penyelia ladang kira-kira RM7,000 sebulan.
"Tapi segalanya berubah dan kemuncaknya ketika saya dapat membawa ahli keluarga seramai tujuh orang mengerjakan haji.
“Saya telah buat pilihan tepat menceburi bidang pertanian yang saya minati sejak kecil," katanya yang kini mampu memperoleh pendapatan hingga RM20,000 sebulan.
Beliau memanfaatkan hasil ladang sebaik mungkin dengan menghasilkan silage daripada sisa kulit jagung sebagai makanan ternakan kambing biri-biri baka Barbados Black Valley yang turut diusahakannya.
"Najis kambing pula saya proses untuk dijadikan baja kompos bagi kegunaan ladang," tambahnya.
Selepas beberapa tahun terbabit dalam bidang tersebut, RISDA hadir membantu anak pekebun kecil sepertinya.
Bantuan peralatan yang diterima seperti pam air dan sistem perpaipan membantu memudahkan kerja-kerja di ladang.
"Setakat ini, saya telah menerima bantuan peralatan bernilai RM20,000 dan sangat berterima kasih kepada RISDA yang banyak membantu.
"Banyak yang saya rancangkan selepas ini antaranya untuk membantu usahawan muda khususnya dalam bidang agro," katanya.
Produk sendiri
"Sebelum ini saya seorang tukang jahit tetapi beralih arah pada 2016 dengan menyertai pelbagai kursus urutan dan menawarkan pakej penjagaan berpantang selepas bersalin.
"Dari situ saya meningkatkan kemahiran dan menggunakan bantuan peralatan bernilai RM10,000 yang diberikan oleh RISDA pada 2018 untuk membuka D'Spa Lempoyang menggunakan konsep semulajadi dan herba tradisional di Bukit Rang dekat Pulau Tawar.
"Setahun kemudian, saya terima bantuan peralatan dengan nilai sama untuk peti, chiller dan almari bagi kegunaan spa. Pada 2020 pula, saya mendapat bantuan pembungkusan produk,” ujarnya yang tidak menyangka kini memiliki produk sendiri.
Dengan jualan produk set barangan bersalin bernilai RM180, menawarkan rawatan spa dan pakej berurut, kini pendapatannya mencecah hingga RM7,000 sebulan terutama pada waktu cuti sekolah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!