Kenaikan harga barang amat membimbangkan: Permim
GEORGETOWN- Kenaikan harga barangan pada ketika ini amat membimbangkan berikutan rakyat semakin tertekan kerana perlu menghadapinya selepas terkesan dengan impak penularan wabak Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Sehubungan itu, Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) meminta pihak berkuasa terutamanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau kenaikan harga barangan ini dengan lebih agressif.
Presidennya, Shaik Faridhudheen Anverdeen berkata, KPDNHEP juga digesa agar mengambil tindakan tegas kepada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.
"Kenaikan harga barang ketika ini amat membebankan pengguna. Kita memandang serius impak kenaikan harga barangan asas kebelakangan ini. Minyak masak, telur ayam serta daging ayam bersih adalah antara barangan yang mengalami kenaikan harga secara mendadak.
"Oleh itu, kita berharap agar pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih cakna untuk menjaga kepentingan pengguna," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Mesyuarat Jemaah Menteri mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia mulai Jumaat lalu.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata Jemaah Menteri turut bersetuju untuk menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 0.45 sen sebiji bagi gred A, Gred B (0.43 sen/biji) dan gred C (0.41 sen/biji).
Selain itu, KPDNHEP turut memutuskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.
Mengulas lanjut, Shaik Faridhudheen berkata, menaikkan harga minyak masak pada hari yang sama dihentikan subsidi adalah tidak wajar.
"Harga minyak masak terus naik bermula 1 Julai adalah tidak wajar kerana kerajaan menghentikan subsidi pada hari yang sama.
"Sudah pasti peniaga mengambil kesempatan dengan menaikan harga stok yang sedia ada di premis mereka," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta KPDNHEP mengenakan tindakan tegas terhadap peniaga yang menjual ayam melebihi harga siling yang ditetapkan.
"Penguat kuasa perlu memantau dengan lebih agresif terhadap peniaga agar tiada yang mengambil kesempatan dengan menjual ayam melebihi harga siling yang ditetapkan. Mereka yang didapati melakukan kesalahan itu perlu dikenakan denda.
"Bagaimanapun, kebajikan penjual juga harus dijaga oleh kerajaan dengan mengenakan harga siling bagi harga borong.
"Para pengguna harus bijak membeli dengan peniaga yang menjual pada harga siling yang disyorkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!