Penganggur disyaki tekup muka kekasih didakwa Isnin

Laporan Sinar Harian 27 Jun lalu.
Laporan Sinar Harian 27 Jun lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang penganggur disyaki menekup kekasihnya dengan bantal sehingga maut di Kampung Idaman Pandamaran, Klang akan didakwa di Mahkamah Klang pada Isnin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pendakwaan terhadap lelaki berusia 24 tahun itu dilakukan selepas pihaknya mendapat arahan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Menurutnya, polis masih menyiasat dan tidak boleh mendedahkan motif kejadian itu kerana ia akan melibatkan kes di mahkamah nanti.

"Motif sebenar kejadian mengenai punca suspek melakukan perbuatan ke atas mangsa masih dalam siasatan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) di Taman Penggawa di sini pada Ahad.

Arjunaidi (dua dari kiri) menyerahkan surat penghargaan kepada wakil penduduk pada Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita di Taman Penggawa, Kuala Selangor pada Ahad.
Arjunaidi (dua dari kiri) menyerahkan surat penghargaan kepada wakil penduduk pada Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita di Taman Penggawa, Kuala Selangor pada Ahad.

Arjunaidi berkata, lelaki itu sudah ditahan polis dan ketika ini masih ditempatkan di lokap Klang.

Pada 27 Jun lalu, media melaporkan, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mati dipercayai dibunuh teman lelakinya di rumah lelaki itu di Kampung Idaman, Pandamaran pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan telefon pada jam 3.40 pagi yang memaklumkan terdapat seorang remaja perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri di halaman rumah itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!