Dua beradik curi motosikal, samun guna pistol tiruan

Zaidy (tengah) menunjukkan pistol mainan warna hitam yang dirampas dalam serbuan di tepi sungai Pinang Tunggal Tikam Batu.
Zaidy (tengah) menunjukkan pistol mainan warna hitam yang dirampas dalam serbuan di tepi sungai Pinang Tunggal Tikam Batu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Perbuatan dua beradik yang mencuri motosikal dan menggunakan pistol tiruan bagi tujuan menyamun kedai serbaneka 24 jam akhirnya terbongkar setelah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mereka yang berusia 23 dan 26 tahun itu ditahan dalam serbuan di tepi sungai Pinang Tunggal, Tikam Batu pada Ahad lalu.

Menurutnya, dalam kejadian samun di sebuah kedai serbaneka di Taman Setia Budi, Tikam Batu, seorang daripada suspek dilihat masuk ke kedai dengan memakai topi keledar berpura-pura untuk membeli barang, namun bertindak menyamun pekerja pada jam lebih kurang 1.30 pagi.

"Semasa ingin memulangkan baki bayaran, suspek mengeluarkan satu objek menyerupai pistol dan mengacukan ke arah laci kaunter lalu mengambil wang tunai lebih kurang RM100," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada Ahad.

Menurutnya, susulan kejadian, polis telah mengesan suspek serta menahan kedua-dua yang disyaki terlibat dalam kes terbabit.

"Turut dirampas sepucuk pistol mainan warna hitam, 'pouch' beg, sebatang 'allen key' yang diasah tajam, playar pemotong wayar, jam tangan jenama G-Shock, tiga peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 2.62 gram, topi keledar dan motosikal Duke 200 warna oren dan putih," katanya.

Katanya, hasil semakan mendapati motosikal yang digunakan adalah motosikal curi yang dilaporkan hilang pada hari yang sama, Ahad lalu.

Motosikal yang digunakan dalam kejadian samun dipercayai hasil motosikal curi.
Motosikal yang digunakan dalam kejadian samun dipercayai hasil motosikal curi.

"Dengan tangkapan berkenaan, polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun bersenjata api membabitkan kedai serbaneka 24 jam sejak dua minggu lalu serta kes khianat dan curi motosikal.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek pernah ditangkap atas kesalahan dadah dan pernah dipenjarakan atas kesalahan samun," katanya.

Zaidy berkata, saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!