Lebih 500 Orang Asli peluk Islam di Pahang tahun lalu
KUANTAN - Lebih 500 individu terdiri daripada Orang Asli telah memeluk Islam di Pahang sehingga tahun lalu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, jumlah itu cukup besar walaupun pandemik Covid-19 yang melanda negara ia sedikit membantutkan usaha dakwah Muip.
Katanya, setakat Mei tahun ini, seramai 202 individu telah memeluk Islam dan mereka kini sedang menjalani kelas agama di bawah Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli (PePIMA).
"Usaha dakwah ini dilaksanakan secara berterusan dengan mendedahkan tentang keindahan Islam dan ramai kalangan mereka terbuka hati untuk memeluk Islam, malah setiap tahun anggaran individu yang memeluk Islam adalah sekitar 500 hingga 600 orang.
"Mereka memeluk Islam selepas tertarik aktiviti yang kita laksanakan dan tiada paksaan untuk mana-mana individu (memeluk Islam)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata, beberapa perkampungan Orang Asli telah ditempatkan pendakwah Orang Asli memastikan kebajikan mereka terjaga.
Katanya, penempatan pendakwah dalam kalangan mereka dapat memudahkan pogram dakwah dilaksanakan.
"Kita yakin dengan cara ini dapat meningkatkan jumlah orang Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
"Sebagai galakan kita juga memberi elaun kepada mereka yang rajin mengikuti kelas fardu ain dan agama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!