NGO Selangor bantah cadangan roboh Stadium Shah Alam
SHAH ALAM - Badan bukan kerajaan (NGO) di Selangor membantah usaha serta cadangan kerajaan negeri Selangor untuk merobohkan Stadium Shah Alam bagi membina stadium lebih kecil.
Pengerusi Sekretariat NGO Selangor, Datuk Nazilah Idris berkata, projek membina stadium baharu akan melibatkan kos tinggi dan terdapat khabar angin ia mencecah sehingga RM1.3 bilion.
Beliau berpandangan, adalah lebih baik dana itu disalurkan kepada kebajikan dan keselamatan rakyat termasuk mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang masih memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri.
"Kes banjir di Sri Muda pun belum selesai lagi, banjir itu menyebabkan (melibatkan) mangsa yang terlalu ramai disebabkan kecuaian kerajaan negeri.
"Buat masa sini Stadium Shah Alam masih lagi utuh tidak perlu dirobohkan kerana kos roboh satu (perkara), kos hendak bina balik lagi satu (perkara).
"Saya dengar jumlahnya (mencecah) sehingga RM1.3 bilion yang melibatkan duit rakyat dan sepatutnya duit itu digunakan untuk menjaga kebajikan serta keselamatan rakyat," katanya.
Beliau ditemui bersama wakil beberapa NGO lain antaranya termasuk Pertubuhan KAMI Prihatin Selangor di hadapan Stadium Shah Alam pada Ahad.
Hadir sama, Naib Pengerusi NGO Selangor, Muhd Ali Zakaria dan Pengerusi Pertubuhan KAMI Prihatin Selangor, Datuk Ahmad Mua'adzam Shah Ya'akop.
Dalam pada itu, Nazilah berkata, NGO Selangor juga akan menghantar memorandum secara rasmi kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang dijadualkan pada Isnin ini.
"Kita akan menyenaraikan beberapa cadangan daripada rakyat Selangor dan kami juga minta Menteri Besar datang dengan solusi lebih baik tanpa mengecewakan rakyat Selangor.
"Kalau perlu, rakyat Selangor sanggup untuk kutip duit bagi mempertahankan Stadium Shah Alam ini," katanya yang akan menghantar memorandum terbabitu sekitar jam 10 pagi pada Isnin.
Pada Sabtu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak menafikan adanya cadangan untuk merobohkan Stadium Shah Alam.
Bagaimanapun, Amirudin berkata, pihaknya akan menjelaskan secara terperinci mengenai cadangan pembangunan terbaharu stadium tersebut pada 16 Julai ini.
“Ia (meruntuhkan stadium) merupakan satu pilihan sejak dari awal lagi... Kita akan jelaskan kemungkinan pada 16 Julai bersempena hari pembukaan Stadium Shah Alam, sekarang masih pramatang tidak elok untuk saya huraikan sebab ia melibatkan perbincangan dengan banyak pihak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama Kuala Selangor pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!