'Tok Mat degil demi rakyat'
SEREMBAN - "Tok Mat walau saya cakap macam mana pun, memang dia lebihkan rakyat," kata isteri calon BN PRK DUN Rantau, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin berkenaan perihal Datuk Seri Mohamad Hasan.
Meskipun begitu sebagai isteri dia tidak pernah merungut dan sentiasa menasihatkan Tok Mat supaya menjaga kesihatan.
"Hati dia memang bersama rakyat. Saya dan anak-anak sedia maklum dan kena faham. kerana itulah Tok Mat.
"Saya cuma boleh ingatkan dia dalam berusaha dekati rakyat dan bekerja, jangan lupa jaga kesihatan dan waktu untuk diri sendiri," katanya ketika ditemui bersama 'Team Tok Mat' melakukan tinjauan mesra di sekitar Pekan Rantau, hari ini.
Menurutnya, sokongannya terhadap Tok Mat bukan semata-mata disebabkan statusnya sebagai isteri kepada pemimpin itu, tetapi kerana tahu bagaimana beliau bekerja.
Katanya, sebagai isteri dia perlu turut serta membantu berkempen untuk Tok Mat yang banyak berjasa bukan sahaja di kawasan Rantau, tapi Negeri Sembilan.
"Saya sebagai isteri nampak macam mana Tok Mat bekerja sehingga kadang-kadang saya risau tentang kesihatannya yang terlalu fikirkan rakyat.
"Macam sekarang, beliau bukan saja perlu jaga Negeri Sembilan, tapi negara kerana peranannya sebagai Timbalan Presiden UMNO," katanya.
Salbiah berkata, Rantau perlukan seorang pemimpin yang berasal dari Rantau dan bukannya orang luar yang tiba-tiba datang hanya untuk mengambil alih kuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!