'Jangan ulang kesilapan lalu'
SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor digesa tidak merobohkan Stadium Shah Alam di Seksyen 13, di sini dan tidak mengulangi kesilapan kerajaan negeri terdahulu yang merobohkan Litar Batu Tiga, Shah Alam.
Pengerusi Pertubuhan Kami Prihatin Selangor, Datuk Ahmad Mua’dzam Shah Yaakop berkata, Stadium Shah Alam dan kawasan sekitarnya tidak sepatutnya menerima nasib yang sama.
Menurutnya, kawasan Seksyen 13 sepatutnya dikekalkan sebagai lembah sukan dan kemudahan sukan disediakan sepatutnya menjadi semakin hebat dan maju serta stadium yang ada ditambah baik.
“Jangan sampai hendak roboh, tak boleh pakai baru hendak dibetulkan. Ini satu amalan yang tidak sihat dan tidak cekap telah dilakukan oleh kerajaan negeri.
"Kalau boleh kita selenggara balik, cantikkan semula stadium, kehebatannya akan kembali, gah semula, semangat penyokong-penyokong Selangor akan turun kembali ke Stadium Shah Alam,” katanya.
Beliau bersama wakil beberapa NGO lain antaranya termasuk Sekretariat NGO Selangor ditemui pemberita di hadapan Stadium Shah Alam di sini pada Ahad.
Tambahnya, Seksyen 13 perlu dikekalkan tanpa sebarang pembangunan bersifat keuntungan, sebaliknya meningkatkan kualiti fasiliti sukan dan menambah lagi kemudahan sedia ada.
Pada Sabtu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak menafikan adanya cadangan untuk merobohkan Stadium Shah Alam.
Bagaimanapun, Amirudin berkata, pihaknya akan menjelaskan secara terperinci mengenai cadangan pembangunan terbaharu stadium tersebut pada 16 Julai ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!