Takuro Hoki-Yugo Kobayashi juara Terbuka Malaysia 2022
BEREGU nombor dua dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi muncul juara Petronas Terbuka Malaysia 2022 apabila menewaskan beregu Indonesia yang juga beregu nombor enam dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dalam tempoh satu jam, lima minit di Axiata Arena, petang tadi.
Pertemuan kedua-dua beregu berkenaan berlangsung sengit pada set pertama dengan menyaksikan kedua-duanya saling bekejaran mata sebelum kemenangan berpihak kepada gandingan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 24-22.
Set kedua menyaksikan kebangkitan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang menang 21-16 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bagaimanapun, aksi di set penentuan ternyata berpihak kepada beregu Jepun itu apabila menang mudah 21-9.
Acara beregu wanita sebelum itu menyaksikan, gandingan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti muncul juara Terbuka Malaysia 2022 apabila menewaskan gandingan Zhang Shu Xian-Zheng Yu dari China, 21-18, 12-21, 21-19.
Setelah memenangi set pertama, Apriyani Rahayu dan Siti Fadia Silva Ramadhanti kemudiannya gagal menyekat kebangkitan Shu Xian-Zheng Yu pada set kedua bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bagaimanapun, gandingan Apriyani-Siti Fadia yang mendapat sokongan penonton tempatan, berjaya menyerap asakan-asakan daripada Zhang Shu Xin sebelum memenangi set penentuan 21-19 dalam perlawanan yang berlarutan selama satu jam, 11 minit.
Bagi acara perseorangan wanita, pemain nombor lapan dunia, Ratchanok Intanon dari Thailand menewaskan pemain nombor empat dunia dari China, Chen Yu Fei, 21-15, 13-21, 21-6 dalam tempoh satu jam lima minit.
Ratchanok beraksi baik pada set pertama sebelum menang 21-15, namun Yu Fei dilihat enggan menyerah kalah apabila bangkit menewaskan Ratchanok 21-13.
Perlawanan antara kedua pemain berkenaan semakin sengit di set penentuan apabila mereka dilihat saling mengejar mata antara satu sama lain, namun tuah nyata memihak kepada Ratchanok untuk menang 21-16.
Sementara itu pasangan nombor dua dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong muncul juara beregu campuran apabila menewaskan pasangan nombor satu dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, 21-13, 21-18 dalam tempoh 35 minit.
Setelah menang set pertama, Si Wei-Ya Qiong dilihat tidak berdepan masalah berdepan pasangan nombor satu dunia itu apabila mudah memenangi set kedua dan sekali gus mengesahkan kejuaraan di saingan Terbuka Malaysia 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!