Jang kena hoben di Paroi
KESEMPATAN beraksi di gelanggang sendiri gagal dimanfaatkan Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila tewas 0-1 kepada Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam tadi.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad The Rhino itu berjaya menebus kekalahan 0-1 kepada skuad Hoben Jang Hoben itu di Stadium Likas, 4 Mac lalu.
Malah, kemenangan itu turut menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee merampas kedudukan di tangga kedua Liga Super berbanding skuad kendalian K Devan yang jatuh satu anak tangga ke kedudukan ketiga Liga Super ketika ini.
Pada perlawanan malam tadi menyaksikan kedua-dua pasukan bermula baik dengan masing-masing melakukan beberapa percubaan ke pintu gawang lawan dalam usaha membuka jaringan.
Bagaimanapun, tiada sebarang jaringan berjaya dihasilkan di sepanjang babak pertama apabila percubaan-percubaan yang dilakukan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan lawan masing-masing.
Kedua-dua pasukan mula menggandakan asakan sebaik babak kedua bersambung dalam usaha memecah kebuntuan jaringan.
Akhirnya, hasil satu serangan balas, Sabah FC berjaya menamatkan kebuntuan gol hasil tandukan Taesu Park pada minit ke-63 sekali gus menewaskan penjaga gol NSFC, Ahmad Syihan Hazmi.
Tersentak dengan gol pembukaan pelawat, kesebelasan NSFC mula bangkit mengatur asakan ke pintu gol Sabah FC dalam usaha menyamakan kedudukan.
Bagaimanapun, benteng pertahanan skuad The Rhino itu dilihat terus kental bertahan hingga ke wisel penamat sekali gus memastikan tiga mata berharga berjaya dibawa pulang ke Kota Kinabalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!