Remaja Palestin maut ditembak tentera Israel

Kenderaan pasukan keselamatan Israel bergerak dekat sebuah kem pelarian Palestin di Jenin, Tebing Barat baru-baru ini. - Foto AFP
Kenderaan pasukan keselamatan Israel bergerak dekat sebuah kem pelarian Palestin di Jenin, Tebing Barat baru-baru ini. - Foto AFP
A
A
A

RAMALLAH - Seorang remaja Palestin, Kamal Alawna maut pada Ahad akibat ditembak semasa serbuan oleh tentera Israel di sebuah bandar berhampiran Jenin pada malam sebelumnya, kata Kementerian Kesihatan Palestin.

Alawna, 17, ditembak di perut dan tangan kanannya semasa konfrontasi yang meletus di Jabaa, selatan bandar Jenin di Tebing Barat yang dijajah rejim Zionis.

Ia berlaku selepas tentera Israel menyerbu bandar itu pada malam Sabtu lalu.

Jani Abu Jukha iaitu Pengarah Hospital Ibn Sina, Jenin berkata, Alawna telah sampai ke hospital dalam keadaan kritikal dan meninggal dunia pada Ahad akibat kecederaannya, menurut agensi berita Palestin Wafa.

Tentera Israel telah melakukan operasi serbuan dan tangkapan hampir setiap hari di Tebing Barat yang dijajah sejak Mac lalu.

Baru-baru ini, tentera Israel menembak mati seorang lelaki Palestin berusia 25 tahun semasa serbuan dilakukan di Jenin. - Agensi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!