'Tak sampai setahun, Rumah Impian Bangsa Johor retak, lif rosak'

Iman Nurudin (kanan), Kwong Chin (tengah) dan seorang penduduk menunjukkan bangunan Pangsapuri Impian Jauhar, Bandar Baru Majidee, Johor Bahru pada Isnin.
Iman Nurudin (kanan), Kwong Chin (tengah) dan seorang penduduk menunjukkan bangunan Pangsapuri Impian Jauhar, Bandar Baru Majidee, Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Penduduk Pangsapuri Impian Jauhar di Bandar Baru Majidee di sini merayu pihak pemaju menyelesaikan masalah di kediaman 12 tingkat itu antaranya bahagian dalam dan luar rumah retak, paip air bocor, lif rosak dan tekanan air rendah.

Seorang penduduk, Iman Nurudin Azmi, 30, yang tinggal di tingkat lima pangsapuri itu berkata, masalah rumah retak boleh dilihat di kedua-dua blok di situ bukan sahaja dalam dan luar rumah, tetapi juga di bahagian tangga, koridor dan luar bangunan.

Bapa kepada empat anak dan merupakan penjawat awam itu mendakwa, masalah keretakan itu sudah berlaku sebelum mereka berpindah masuk ke pangsapuri tersebut terutama di blok kedua.

Penduduk menunjukkan bahagian laur bangunan yang retak di bangunan
Pangsapuri Impian Jauhar, Bandar Baru Majidee, Johor Bahru, pada Isnin
Penduduk menunjukkan bahagian laur bangunan yang retak di bangunan Pangsapuri Impian Jauhar, Bandar Baru Majidee, Johor Bahru, pada Isnin



Menurutnya, pangsapuri ini mula dihuni pada 28 November tahun lalu dan kini lebih 50 peratus sudah dihuni di 320 unit rumah di situ.

"Tidak sampai setahun duduk sudah ada pelbagai masalah. Semasa kami masuk secara berperingkat mulai hujung tahun lalu dan awal tahun ini, keadaannya amat teruk dan tidak terurus.

"Rumah ini dibeli dengan harga RM150,000 di bawah program Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ). Apabila dibuat aduan, mereka hanya cat semula untuk menutup bahagian retak dan bukan menampal semula dengan simen," katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.

Program RIBJ di bawah naungan Yayasan Sultan Ibrahim itu merupakan hadiah daripada Sultan Johor kepada rakyat negeri ini dengan bayaran deposit RM1 sempena Hari Keputeraan Baginda pada 2017.

Menerusi pelancaran RIBJ pada Mac 2017, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, projek yang dibina Johor Corporation (JCorp) menerusi syarikat dalam kumpulannya, Johor Land Berhad (JLand) sebagai pemaju, harga RIBJ perlu murah dan berkualiti.

Sementara itu, Muhammad Aizat Zanudin, 31, yang bekerja swasta dan tinggal di tingkat lapan berkata, masalah tekanan air di kediaman atas masih tidak diatasi apatah lagi kesulitan itu bukan sahaja berlaku pada waktu puncak tetapi setiap masa.

"Begitu juga masalah tandas bocor turut menghantui penduduk. Apabila rumah atas bocor, biasanya rumah di bawah menerima akibatnya," ujar bapa kepada seorang anak itu yang merupakan antara penduduk paling awal berpindah ke situ.

Pekerja swasta, Chong Kwong Chin, 32, yang tinggal di tingkat enam berkata, satu daripada tiga lif di blok pertama dan kedua rosak yang sudah lebih sebulan tidak dibaiki walaupun sudah membuat aduan.

Muhammad Aizat (kiri) dan Kwong Chin menunjukkan satu daripada tiga lif yang rosak sejak lebih sebulan lalu di blok dua Pangsapuri Impian Jauhar, Bandar Baru Majidee, Johor Bahru, pada Isnin
Muhammad Aizat (kiri) dan Kwong Chin menunjukkan satu daripada tiga lif yang rosak sejak lebih sebulan lalu di blok dua Pangsapuri Impian Jauhar, Bandar Baru Majidee, Johor Bahru, pada Isnin



"Masuk tahun ini sudah tiga kali lif rosak. Walaupun dua lif di dua blok itu masih boleh digunakan tetapi keadaan lif tidak berfungsi dengan baik, kadang-kasang tertutup sendiri dan tidak boleh dibuka kerana bermasalah.

"Sebelum ini pernah ketiga-tiga lif di blok kedua semuanya rosak, bayangkan penduduk di tingkat atas berurusan semasa lif rosak," katanya.

Aznor Hidayah Ahmad, 37, pekerja swasta yang tinggal di tingkat dua berkata, pengawal keselamatan di pangsapuri sudah tidak lagi datang bekerja sejak tiga hari lalu kerana dikatakan tidak dibayar gaji sedangkan penduduk membayar wang penyelengaraan RM105 sebulan.

"Kediaman ini pernah dimasuki pencuri beberapa kali sebelum ini dan bahagian depan pangsapuri kini dijadikan tempat mat rempit berlumba.

"Setelah tidak ada pengawal keselamatan, mat rempit akan masuk dalam kawasan pangsapuri kerana tiada pengawal keselamatan untuk mencuri," ujar ibu kepada tiga anak itu.

Menurutnya, aduan sudah dibuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan Jabatan Diraja Johor pada Ahad supaya perkara itu sampai kepada Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana bimbang keselamatan mereka.

"Masalah tersebut jika tidak diselesaikan dikhuatiri akan menjejaskan imej dan reputasi Yayasan Sultan Ibrahim apatah lagi RIBJ adalah sebuah projek yang diilhamkan baginda untuk membantu rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!