Kilang buang sisa toksik ke sungai
PASIR GUDANG - Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang mengenal pasti kilang-kilang yang membuang sisa toksik ke dalam Sungai Selangkah.
Pengarah JAS Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, kilang terbabit dipercayai mengambil kesempatan dengan membuang sisa toksik ketika waktu hujan.
"Bagi pencemaran Sungai Selangkah siasatan telah dijalankan dan kita dapati aduan itu timbul selepas hujan. Jadi kita syaki ada kilang-kilang mengambil kesempatan melepaskan sisa toksik tanpa dirawat ke sungai pada waktu hujan.
"Sebab tu masa hujan, timbul bau kimia dan sebagainya. Semakan kita pada waktu kering, keadaannya normal tapi ketika hujan, keadaan jadi luar biasa.
"Jadi jita suspek ini kaedah diguna pelaku" katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan rungutan penduduk Taman Tanjung Puteri Resort Fasa 2 terhadap bau busuk yang terpaksa dihidu setiap hari dari Sungai Selangkah begitu hampir dengan kediaman mereka.
Dalam pada itu, Mohammad Ezanni menegaskan pihaknya sedang giat melakukan pemeriksaan setiap kilang yang disyaki bagi mengesan pelaku.
"Mana-mana kilang yang didapati melanggar arahan kita akan ambil tindakan sewajarnya. JAS melipat gandakan operasi untuk kenal pasti kilang-kilang tersebut dengan kadar segera.
"Kita anggarkan ada 113 buah kilang di sepanjang Sungai Selangkah dalam jarak sekitar 10 kilometer radius dan sekarang ini ada 20 hingga 30 buah kilang yang disyaki terlibat. Kita periksa satu demi satu," katanya.
Namun pihaknya masih belum mengenal pasti sama ada sisa toksik yang mencemari Sungai Selangkah itu sama atau berbeza dengan pencemaran di Sungai Kim Kim.
"Bahannya kita tak pasti lagi tapi unit pengawasan memeriksa kualiti air sungai untuk kenal pasti kandungan yang ada supaya mudah untuk kenal pasti suspek," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!