Nelayan didakwa tipu jual bot, peralatan tidak wujud

Tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa untuk sebutan kesnya di Mahkamah Majistret pada Isnin.
Tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa untuk sebutan kesnya di Mahkamah Majistret pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Seorang nelayan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas 10 tuduhan menipu seorang lelaki dalam urusan pembelian bot dan peralatan menangkap ikan tidak wujud melibatkan nilai kerugian RM25,000 tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Azrim Ali, 36, mengaku bersalah atas empat tuduhan dan minta dibicarakan atas enam lagi tuduhan yang disebutkan dalam mahkamah berasingan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah dan Ainis Abu Bakar Shaari.

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Azreen Wan Zaid dan Aini Adilah Muhammad Faizal, tertuduh didakwa memperdaya sehingga mendorong seorang lelaki membuat bayaran secara dalam talian antara RM300 hingga RM5,000 untuk pembelian bot dan peralatan menangkap ikan sedangkan barangan yang ditawarkan itu tidak wujud.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Seri Galing, Lorong Seri Setali 38 di sini antara April hingga Mei tahun lalu.

Bagi semua kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Tertuduh yang mengaku bersalah bagi empat tuduhan itu diberikan jaminan RM15,000 manakala 21 Julai ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula untuk fakta kes dan hukuman.

Sementara itu, mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 bagi enam lagi pertuduhan setelah tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan manakala 19 Julai ditetapkan untuk sebutan semula kes terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!