Bekas banduan dipenjara enam tahun
TAIPING - Seorang lelaki yang meloloskan diri dari kawalan polis dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Taiping pada Isnin selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pecah rumah dan mencuri bulan lalu.
Mohamad Ailuddin Akif Alluvi, 30, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nizam Zakaria yang kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 22 Jun lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa telah melakukan pecah rumah dan mencuri dua telefon bimbit, sebuah komputer riba, wang tunai RM3,000, seutas rantai tangan dan leher serta empat bentuk cincin dengan keseluruhan harta dianggarkan berjumlah RM12,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Redang Panjang, Ijok, Batu Kurau antara jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada 21 Jun lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan yang dilakukan kali kedua atau yang kemudian, boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Khoo Thean Heng manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Wei Jun.
Sementara itu di mahkamah berasingan, tertuduh yang baru keluar penjara pada Mac lalu turut didakwa dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan polis pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama yang ketika itu ditahan secara sah bagi kesalahan jenayah.
Perbuatan itu dilakukan di Masjid Mohd Ali Raouse, Kampung Ulu Sepetang di sini, kira-kira jam 8.05 pagi pada Rabu lalu.
Tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Mohamad Khairul Fathi Mohamad Khir.
Mahkamah Majistret kemudiannya menetapkan 3 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Media melaporkan seorang lelaki ditahan selepas lebih 18 jam meloloskan diri dari kawalan polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Taiping pada Rabu.
Orang Kena Tahan (OKT) dibawa dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Selama bagi pertuduhan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagaimanapun telah melarikan diri dari kawasan Ulu Sepetang, Batu Kurau.
Bagaimanapun, tindakan pantas polis telah berjaya menahan suspek ketika bersembunyi di sebuah pondok kayu di kawasan Redang Panjang, Selama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!