[VIDEO] BN ada peluang cerah menang PRU15

Gambar kecil: Ahmad Atory
Gambar kecil: Ahmad Atory
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya ia diadakan dalam waktu terdekat.

Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, ini kerana barisan pembangkang masih belum bersedia untuk menjalinkan kerjasama rapat bagi menghadapi BN menjelang PRU15 nanti.

Menurutnya, peluang untuk parti lain menang dalam PRU15 adalah tipis kerana pembangkang tidak boleh berseorangan.

“Sebagai penganalisis, saya sendiri melihat ada peluang untuk BN menang sebab saya perhatikan tidak ada kesediaan daripada pembangkang untuk bekerjasama rapat antara satu sama lain.

“Tidak seperti tahun 2018 lalu di mana semua parti pembangkang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan (PH).

“Situasi agak berbeza ketika ini yang mana parti seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dilihat berpecah,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Jumaat, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, PRU15 dijangka diadakan pada September atau Oktober sebelum tekanan dihadapi rakyat semakin bertambah kerana berdepan kenaikan harga barang, selain sedang menanggung kadar faedah pinjaman yang meningkat.

Mengulas lanjut, Ahmad Atory berkata, BN mahu menyegerakan PRU15 supaya kerajaan baharu dapat dibentuk bagi menggantikan kerajaan campuran ketika ini.

“Mereka berharap (PRU15) diadakan pada waktu terdekat kerana sudah tidak mahukan kerajaan seperti sekarang yang dianggap tidak begitu mantap untuk mentadbir.

“Jika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga bersetuju, tidak jadi masalah untuk diadakan PRU pada September atau Oktober ini,” ujarnya.

Tambah beliau, kekuatan BN adalah terletak pada akar umbi, jentera, cawangan dan bahagian yang banyak serta kuat.

“UMNO misalnya, ada 8,500 cawangan di seluruh negara, jadi dari segi mekanikal dan infrastrukturnya, agak sukar untuk parti lain melawan BN.

“BN ini masalahnya terletak pada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sahaja. Yang lain tidak ada masalah, duit banyak, kuasa ada, jentera, cawangan dan bahagian kuat serta bersatu.

“Selain itu, pengundi di kampung juga kuat dan tidak berpecah. Pengundi bandar memang ramai yang sokong PKR, tetapi harus diingat kerusi Parlimen lebih separuh adalah di luar bandar, yang menyokong BN,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!