Kenaikan harga tiket Pulau Pangkor terlalu drastik
IPOH - Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) Perak menyifatkan kenaikan tambang feri ke Pulau Pangkor mulai 1 Julai lalu terlalu drastik dan bakal memberi kesan kepada pengusaha pelancongan.
Pengerusinya, Zamari Muhyi berkata, kenaikan mendadak tambang feri daripada RM14 untuk dua hala kepada RM10 bagi perjalanan sehala agak tinggi.
Jelas beliau, kadar kenaikan tambang tersebut perlu munasabah dengan alasan yang boleh diterima oleh semua pihak.
"Kita menganggap kenaikan harga tambang feri ini terlalu drastik. Apa alasan kenaikan harga ini kerana jika disebabkan bahan api, harga petrol dan diesel masih kekal. Adakah kadar baharu tambang ini dipersetujui pihak berkuasa tempatan?
"Dari segi jangka masa pendek mungkin tidak nampak kesannya, tetapi dalam jangka masa panjang, pelancong akan berfikir banyak kali untuk ke Pulau Pangkor disebabkan kadar tambang baharu ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Zamari yang juga Setiausaha Agung MyBHA berkata, setakat ini tempahan hotel melibatkan ahli-ahli MyBHA di Pulau Pangkor masih baik biarpun kadar baharu itu dilaksanakan.
Jelasnya, bagaimanapun kebimbangan untuk masa akan datang jika berlaku pengurangan kehadiran pelancong disebabkan kenaikan harga tersebut yang bakal menjejaskan pengusaha hotel di Pulau Bebas Cukai itu.
Beliau meminta pihak pihak berkaitan memberikan penjelasan dan melihat secara teliti sama ada keputusan menaikkan tambang tersebut wajar dilaksanakan atau sebaliknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!