NGO lancar petisyen hentikan kuari di Gunung Baling, Gunung Pulai
BALING - Penduduk berharap kerajaan negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor menimbang semula kelulusan kuari di Gunung Baling dan Gunung Pulai demi kesejahteraan penduduk dan kelestarian alam sekitar.
Hasrat itu disampaikan penduduk kepada pertubuhan bukan keraaan (NGO) yang mengadakan pertemuan bagi membangkitkan isu terbabit agar kawasan yang kaya dengan pelbagai khazanah flora fauna itu terpelihara.
Penasihat Sahabat Alam Sik, Mohd Sobri Ramlee berkata, penduduk bimbang berdepan risiko keselamatan sekiranya projek kuari batu kapur berhampiran Kampung Padang Che Mas dan Kampung Dalam Wang, di sini diteruskan.
“Projek itu hanya terletak 150 meter dari kawasan penempatan penduduk. Mereka sangat kecewa kerana suara mereka yang membangkitkan isu tersebut sebelum ini dipandang sepi oleh pemimpin setempat.
“Surat kepada Menteri Besar dan wakil-wakil rakyat telah dihantar untuk tindakan, namun tiada seorang pun mendengar rintihan penduduk kampung. Penduduk runsing memikirkan sekiranya projek diteruskan akan beri kesan buruk kepada mereka dan alam sekitar. Mereka akan terus bersuara untuk pertahankan Gunung Baling, Gunung Pulai dan Gunung Padang Che Mas,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mohd Sobri berkata, Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) perlu dijalankan semula dengan memasukkan maklumat terkini manakala Kajian Impak Sosio (SIA) juga perlu dijalankan secara menyeluruh.
“Banjaran Gunung Baling dan Gunung Pulai harus dijadikan Taman Negeri bagi meningkatkan lagi produk pelancongan Baling seperti dinyatakan dalam Rancangan Tempatan Baling 2020.
“Keindahan gua dan warisan berusia beribu tahun itu perlu dinaik taraf bagi membuka ruang kepada pengkaji meneroka dan memetakan warisan berkenaan. Dikatakan, terdapat spesis yang hanya wujud di Gunung Pulai, iaitu pokok Sohmaea teres (Fabaceae), membuktikan gunung itu wajar dipelihara dan kajian flora fauna perlu diteruskan,” ujarnya lagi.
Menurutnya, Gunung Baling berpotensi dibangunkan untuk ekopelancongan dengan aktiviti penerokaan 13 buah gua yang menjadi tumpuan ramai selain terdapat peninggalan sejarah di sekitar gua dan kaki gunung seperti perkuburan awal Baling serta artifak berusia 17,000 tahun.
“Sungai Ketil yang mengalir dari Gunung Baling ke Gunung Pulai menjadi sumber air bersih kepada Sungai Limau Water Treatment Plant, Baling dikhuatiri akan tercemar dengan partikel dari kuari kelak,” katanya.
Pada 12 April tahun lalu, lebih 100 penduduk Kampung Padang Che Mas, Kampung Dalam Wang dan beberapa NGO melakukan bantahan berkaitan projek kuari batu kapur berhampiran kedua-dua kampung tersebut. Gunung Baling setinggi 420 meter dari aras laut di Mukim Pulai di sini dibimbangi bakal terjejas selepas sebuah kuari diberi kelulusan beroperasi selama 145 tahun.
Sementara itu, wakil Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Mohd Yusaimi Md Yusuf berkata, penduduk tidak menolak pembangunan namun ia harus mengambil kira kesejahteraan penduduk, alam sekitar serta khazanahnya.
“Menjadi kewajipan untuk kita jaga dan pertahankan khazanah alam demi kelestarian manusia serta masa hadapan. Alam sekitar yang baik akan berikan kesihatan yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Perindustrian Pelancongan Daerah Baling, Mohammad Jamil Anni Abdullah pula berkata, kawasan persekitaran yang cantik dan mendamaikan itu tidak sepatutnya diceroboh apatah lagi ia digazetkan sebagai kawasan ekopelancongan daerah Baling.
“Sekiranya berlaku pencerobohan atau kerosakan termasuk melakukan projek seperti kuari batu, ia boleh memberi impak buruk terhadap pencemaran dan kerosakan alam sekitar serta kehidupan manusia, matlamat untuk wujudkan ekopelancongan tidak akan tercapai,” jelasnya.
Sehubungan itu, penduduk dan NGO terlibat telah melancarkan petisyen Bantahan Kuari Gunung Pulai & Gunung Baling menerusi https://chng.it/r8Ggwxjq dengan 6,806 tandatangan telah diterima setakat jam 5 petang Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!