'Saya bukan 'Nina Syaheera' yang goda lelaki'

Nuraqilah Nadhirah melihat laporan polis yang dibuatnya pada 29 Jun lepas.
Nuraqilah Nadhirah melihat laporan polis yang dibuatnya pada 29 Jun lepas.
A
A
A

JEMPOL - Seorang kerani sebuah syarikat swasta berang apabila gambarnya disalah guna oleh individu tidak bertanggungjawab dipercayai untuk menggoda lelaki.

Nuraqilah Nadhirah Irwan, 27, berkata, menyedari perbuatan tidak bertanggungjawab itu apabila melihat gambarnya tular di media sosial pada 12 Jun selepas dimuat naik oleh seorang lelaki.

"Melalui hantaran tular berkenaan, lelaki tersebut meminta orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengenali pemilik gambar iaitu saya menghubunginya dalam keadaan segera kerana melibatkan maruah keluarga.

"Dia kemudiannya menghantar mesej kepada saya dan rakan saya melalui Facebook Messenger memaklumkan perkara sama termasuk seorang wanita bernama 'Nina Syaheera' yang menggunakan gambar saya untuk menarik perhatiannya," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, lebih mengecewakan selain Facebook 'Nina Syaheera' tersebut, gambarnya juga digunakan di Instagram dan TikTok menerusi akaun palsu.

"Lelaki berkenaan pula mendakwa sudah berpacaran dengan 'Nina Syaheera' sejak Januari lepas tanpa pernah bertemu, namun kerap membuat panggilan video tetapi tidak pernah melihat wajah sebenarnya.

"Saya menafikan bahawa 'Nina Syaheera' itu adalah saya, malah nombor telefon yang digunakan wanita berkenaan juga bukan milik saya kerana tidak ada keperluan dan kepentingan untuk saya berbuat demikian semata-mata untuk menggoda ataupun memperdaya lelaki," katanya.

Jelasnya, sehingga kini masih trauma malah berasa takut apabila kejadian tersebut berlaku terhadapnya selain tidak pasti apakah tujuan sebenar wanita berkenaan.

"Sepanjang hidup saya, kejadian ini pertama kali berlaku kepada diri sendiri malah siapa yang tidak terkejut tiba-tiba sahaja ada individu menyamar dan menggunakan gambar saya untuk tujuan tidak bermoral," katanya.

Justeru, katanya, bagi memastikan kejadian sama tidak berulang satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Batu Kikir pada 29 Jun lepas kerana bimbang apa-apa akan berlaku dikemudian hari memandangkan gambarnya telah disalah guna.

"Laporan polis itu juga telah di rujuk pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Bagaimanapun, sekiranya 'Nina Syaheera' masih berdegil dan terus menerus melakukan perbuatan ini (menggunakan gambarnya) dengan menggunakan apa-apa nama sekalipun nantikan tindakan seterusnya," tegasnya.

Dalam pada itu, Nuraqilah Nadhirah berkata, hasil semakan terkini semua akaun di media sosial dengan nama 'Nina Syaheera' sudah di nyah aktif sejak kejadian tular berkenaan.

"Ada juga mangsa lain tampil menghubungi saya sebelum ini namun kebanyakkanya menggunakan akaun palsu yang mendakwa 'Nina Syaheera' tawar gambar tidak bermoral sekiranya meminjamkannya wang.

"Saya berharap mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa tampil membuat laporan polis supaya tindakan lanjut dapat dilakukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!