Pemandu lori ditahan disyaki seleweng diesel bersubsidi

Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Kulim mengesan tangki tambahan diletakkan dalam badan lori dalam serbuan di sebuah stesen minyak dalam mukim Sungai Seluang, Kulim, Kedah pada Isnin.
Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Kulim mengesan tangki tambahan diletakkan dalam badan lori dalam serbuan di sebuah stesen minyak dalam mukim Sungai Seluang, Kulim, Kedah pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR – Seorang pemandu lori yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi ditahan di sebuah stesen minyak di mukim Seluang, Kulim, dekat sini, pada Isnin.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, lelaki warga tempatan berusia 23 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan Pejabat KPDNHEP Cawangan Kulim kira-kira jam 10.45 pagi.

Beliau memberitahu, pasukan serbuan yang terdiri dari empat anggota telah mendapati terdapat tangki tambahan diletakkan dalam badan lori semasa pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah lori yang sedang mengisi minyak diesel.

“Pemeriksaan lanjut mendapati minyak yang diisi melalui tangki asal kenderaan akan disedut naik menggunakan pam ke dalam tangki tambahan.

“Semasa serbuan jumlah minyak yang sempat dikumpul adalah lebih kurang 1,100 liter dengan nilai RM2,365,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya, pemandu kenderaan itu gagal mengemukakan permit khas iaitu satu surat kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan KPDNHEP, sekaligus ditahan untuk soal siasat

Affendi memaklumkan siasatan lanjut mendapati minyak tersebut dibeli daripada stesen-stesen minyak di sekitar Padang Serai dan Kulim.

Tambah beliau, minyak diesel tersebut akan dijual semula dengan harga industri kepada pembeli daripada sektor pembinaan, sedangkan minyak yang sepatutnya digunakan jentera bagi kerja-kerja pembinaan ialah minyak komersil dibeli daripada pemborong sah.

“Susulan itu, kesemua barangan tersebut dirampas termasuk sebuah lori lima tan yang memuatkan tangki tambahan berisi minyak diesel dengan keseluruhan nilai sitaan dianggarkan RM16,325,” katanya.

Beliau menjelaskan kes akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan.

Katanya, kesalahan ini dibaca bersama di Peraturan 3 (1) Peraturan - Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 iaitu tiada siapa boleh berniaga dengan cara jual borong atau jual runcit apa-apa barang berjadual atau mengilang kecuali dibawah satu lesen yang dikeluarkan di bawah Peraturan 4 PPKB 1974.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat boleh didenda tidak melebihi RM 2 juta,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!