Desakan hidup dipercayai punca lelaki kelar isteri, bayi
JOHOR BAHRU - Tekanan dan desakan hidup dipercayai mendorong seorang lelaki bertindak di luar kewarasan apabila sanggup mengelar leher isterinya dan bayi mereka yang baharu dilahirkan di sebuah rumah di Bakar Batu di sini pada Isnin.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu mangsa, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan bayinya, Hans Mohd Thakif Amir yang berusia 44 hari ditemui berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher di luar rumah teres didiami pasangan muda itu.
Bapa mangsa, Rosman Ahmad, 58, menyedari kejadian yang menimpa anak ketiga dari enam beradik itu setelah diberi tahu anak sulungnya.
"Anak saya telefon beritahu ada masalah dekat rumah ini, saya terus bergegas ke rumah anak saya (Hajar Nursyahirin), terkejut tengok cucu dan ibunya terbaring dengan berlumuran darah di halaman rumah.
"Kami terus periksa dan dapati ada kesan tikaman pada leher kedua-duanya," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.
Difahamkan, sejurus melihat isteri dan bayinya berlumuran darah, suspek yang berusia 24 tahun itu bertindak melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal dalam keadaan berbogel sebelum kejadian itu tular.
Rosman berkata, Hans Mohd Thakif merupakan cucu keempat dan anak sulung kepada pasangan berkenaan yang baharu melangsungkan perkahwinan pada Ogos tahun lalu.
"Anak (Hajar Nursyahirin) dan keluarganya ada merancang untuk mengadakan majlis akikah sempena menyambut kelahiran bayi sulung mereka selain mengadakan majlis resepsi perkahwinan.
"Saya difahamkan suspek (menantunya) tidak mempunyai sebarang masalah atau bergaduh dengan isterinya," katanya.
Sementara itu, ibu suspek, Norazlina Hamdan, 50, hampir rebah selepas melihat cucu dan menantunya terbaring tidak bernyawa.
"Dalam kepala tak tau nak fikir apa, saya tanya apa berlaku dan siapa buat, bila dapat cerita macam tu kita reda. Shirin (Hajar Nursyahirin) tiada pula cerita dengan adik-beradik, tak ada pula mengadu apa masalah kewangan mereka," katanya.
Dalam pada itu, adik suspek, Aiman Adam, 18, yang sedang bekerja di sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini memberitahu dia diminta pulang dengan segera oleh ibunya sebelum kejadian itu dimaklumkan kepadanya.
"Apabila sampai, saya terkejut kerana kawasan berkenaan sudah dipenuhi orang ramai, termasuklah sekumpulan pegawai polis. Abang (suspek) bukan jenis pemarah, dia baik-baik sahaja dan saya tidak pernah dengar mereka ada sebarang masalah dalam perkahwinan," katanya.
Bapa suspek, Adam Abdullah, 55, pula hanya enggan memberikan sebarang komen berhubung perkara yang berlaku kerana tidak mampu untuk berfikir apa-apa ketika ini.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga tempatan yang disyaki membunuh isteri dan bayi lelakinya di sebuah rumah di kawasan Bakar Batu di sini pada Isnin, telah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek berusia 24 tahun ditahan polis dalam keadaan berbogel di sekitar Permas Jaya, di sini kira-kira jam 2.45 petang Isnin.
Katanya, tangkapan terhadap suspek dibuat susulan laporan polis berhubung kejadian bunuh melibatkan seorang ibu berusia 26 tahun dan seorang bayi lelaki.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!