Piala AFF B-19: Buang sikap sambil lewa berdepan Kemboja
Skuad negara bakal menyingkap saingan Kumpulan B Kejuaraan Piala AFF B-19 berdepan Kemboja pada Selasa. Foto FAM
A
A
A
Malah pengendali skuad B-19 negara, Hassan Sazali Waras percaya, skuad kendalian Koji Gyotoku yang terkenal dengan permainan pantas dan bijak memanfaatkan ruang serta peluang dalam mencipta jaringan sebagaimana mereka menewaskan Singapura sebelum ini mampu mengundang padah buat pasukan negara sekiranya pemain tidak berwaspada.
Justeru Hassan, tidak menolak kemungkinan Kemboja mampu mencipta kejutan ke atas pasukan kendaliannya itu jika para pemain tidak memberi tumpuan dalam perlawanan tersebut.
“Barisan pemain sudah bersedia menentang Kemboja, cuma perkara yang sentiasa saya ingatkan agar mereka buang sikap sambil lewa dan bermain lebih berhati-hati walaupun pasukan terbabit dianggap kerdil.
“Secara umumnya, kita sudah melihat kelemahan dan kekuatan Kemboja berdasarkan pertemuan menentang Singapura tempoh hari.
“Namun barisan pemain negara perlu berhati-hati supaya tidak terperangkap dengan corak permainan pantas Kemboja yang mungkin akan menyebabkan kita kempunan untuk meraih tiga mata pada perlawanan tersebut,” katanya pada Isnin.
Skuad B-19 negara tiba lebih awal di Indonesia sebagai persiapan mengharungi kejohanan terbabit dengan perlawanan pertama menentang Kemboja.
Harimau Muda kemudian akan bertemu Singapura pada 7 Julai diikuti Timor-Leste dua hari selepas itu (9 Julai) sebelum melabuh kempen saingan peringkat kumpulan menentang Laos pada 11 Julai.
Sementara itu, Hassan mengesahkan pemain Red Star Belgrade, Omar Raiyan Kama Azlan tidak akan diturunkan dalam kesebelasan utama B-19 berdepan Kemboja.
Menurut Hassan, keputusan itu adalah bagi memberi ruang dan peluang kepada pemain berusia 18 tahun itu membiasakan diri bersama pasukan terlebih dahulu.
“Omar mungkin diturunkan pada separuh masa kedua atau disenaraikan untuk perlawanan akan datang kerana masing-masing ada kelebihan untuk pasukan. Setakat ini, pasukan berada dalam keadaan baik cuma dua pemain mengalami kecederaan ringan dan akan pulih menjelang perlawanan pertama nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!