Pas tegas isu perpaduan libatkan pemimpin, ahli

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM – Pas memberi peringatan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pimpinan dan ahlinya yang bertindak membelakangkan aspek perpaduan serta mendorong berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu menjunjung tinggi titah nasihat dan pandangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya gejala perpecahan yang kini berlaku dalam kalangan orang Melayu di negara ini dihentikan segera.

“Pas juga akur sebagaimana dititahkan baginda bahawa agama Islam sentiasa menggalakkan manusia bersatu padu dan tidak berpecah belah selaras dengan perintah yang terkandung dalam kitab suci al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sultan Selangor menerusi satu kenyataan bertitah, baginda memandang serius terhadap gejala perpecahan dalam kalangan orang Melayu, terutama pemimpin politik Melayu.

Titah baginda, perbalahan dalam kalangan pemimpin politik Melayu yang dilihat begitu ketara ketika ini boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum dan kestabilan politik negara.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, Pas akan terus komited untuk mengusahakan agenda perpaduan ummah dalam kalangan umat Melayu Islam di negara ini.

“Sekaligus mengukuhkan perpaduan nasional di antara semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!