Gempur minyak: Jangan sekadar lepaskan batuk ditangga

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

ISU bekalan minyak masak peket bersubsidi yang kurang dan sukar didapati di pasaran bukanlah perkara baharu dilaporkan berlaku, malah ia telah berlanjutan sejak sekian lama.

Namun, keadaan bertambah parah selepas kerajaan mengumumkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram dimansuhkan mulai 1 Julai lalu menyebabkan ramai yang beralih arah menggunakan minyak masak peket.

Bagaimanapun, ‘kehilangan’ 60,000 tan metrik minyak masak jenis peket dengan isi padu satu kilogram yang diberikan subsidi oleh kerajaan ketika ini seakan terjawab dengan terbongkarnya pelbagai penyelewengan yang dipercayai dilakukan rakyat negara ini sendiri.

Memetik laporan Astro Awani, isu kekurangan bekalan minyak masak khususnya minyak peket bersubsidi satu kilogram (kg) di Kelantan difahamkan ada kaitan dengan penyeludupan minyak masak ke negara jiran.

Ia berikutan peniaga di Selatan Thailand terutamanya di Narathiwat, Sungai Golok, Weng dan Sungai Padi didapati tidak mengehadkan pembelian minyak masak peket tersebut.

Berbeza dengan keadaan di Kelantan, di mana pembeli dihadkan kepada satu atau dua peket sahaja bagi setiap pembelian.

Andai benar, minyak masak bersubsidi yang ditanggung kerajaan Malaysia diseludup masuk ke negara jiran itu, pastinya dalangnya juga adalah rakyat negara ini sendiri juga.

Keadaan ini tidak boleh dibiarkan dan memerlukan tindakan tegas oleh pihak berkuasa bagi memastikan bantuan yang diberikan khusus oleh kerajaan itu benar-benar dinikmati rakyat negara ini bukannya pihak lain.

Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Isnin turut merampas 255 kilogram minyak masak pek polibeg bersubsidi di sebuah premis di Petaling Jaya, Selangor dalam operasi serbuan pada Jumaat lalu.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, serbuan tersebut merupakan operasi membanteras aktiviti penjualan minyak masak secara dalam talian melalui platform e-dagang terkenal.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bahawa barang kawalan minyak masak peket 1kg ditemui dan premis gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran di bawah Akta kawalan Bekalan 1961 daripada Pengawal Bekalan untuk berurus niaga dengan barang kawalan berjadual itu.

Melihat kesungguhan yang dilakukan pihak bertanggungjawab dalam menggempur penyelewengan minyak masak subsidi ini, maka besarlah harapan untuk melihat bekalan barang keperluan penting itu kembali stabil.

Kalau ditanya sendiri kepada rakyat, mereka mahukan pihak yang melakukan penyelewengan ini dikenakan tindakan tegas kerana kesalahan yang dilakukan itu amat besar.

Jangan pula penguatkuasaan ini dilakukan hanya bermusim sekadar untuk menyedapkan hati rakyat atau lebih tepat lagi sekadar melepaskan batuk ditangga kerana ramai yang sengsara khususnya golongan B40 apabila sukar mendapat bekalan minyak masak bersubsidi ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!