Banjir di Baling: Isytihar Darurat Bencana Tahap 1 atau II
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau mahu seboleh-bolehnya kawasan yang kritikal di beberapa kampung yang terjejas banjir di Baling diisytiharkan sebagai kawasan Darurat Bencana Tahap I atau II selari dengan situasi dan bidang kuasa yang ada.
Beliau berkata, pengisytiharan itu amat penting bagi mempercepatkan operasi bantuan daripada agensi negeri dan Persekutuan (belanja kecemasan) berdasarkan bajet sedia ada di agensi masing-masing.
"Menurut Arahan MKN20, kuasa mengisytiharkan Darurat Bencana (Tahap III) terletak di tangan Perdana Menteri atas nasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP). Bagi Darurat Bencana Tahap I, ia boleh diisytiharkan oleh Pegawai Daerah selaku Pengarah JPBP.
"Perbelanjaan atas sebab kecemasan akan memudahkan agensi segerakan semua langkah yang perlu untuk memperbaiki infrastruktur yang rosak dan memulihkan keperluan dan kemudahan asas penduduk terlibat,” katanya menerusi catatan dalam akaun Facebooknya pada Selasa.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) pagi ini yang akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim selaku Pengarah JPBN.
"Pada jam 10 pagi, Ketua Polis Daerah selaku Pengarah Operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) akan memberikan taklimat awal operasi mencari dan menyelamat (SAR)."Saya juga dimaklumkan pihak bomba akan turut menggunakan khidmat helikopter untuk meninjau keadaan dari udara bagi memberi gambaran lebih jelas kesan dan punca-punca bencana," katanya.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa hujan lebat yang mencurah di daerah Baling menyebabkan air sungai melimpah dan taburan hujan yang disukat di semua pusat cerapan sepanjang sungai menunjukkan kapasiti hujan yang banyak.
Muhammad Sanusi berkata, dakwaan penduduk yang mengesyaki beberapa tandak tadahan air masyarakat di Gunung Inas telah pecah juga akan disiasat oleh agensi terbabit dan Jabatan Perhutanan untuk menentukan kesahihannya.
"Buat masa ini, ia belum dapat disahkan. Saya doakan semua mangsa dapat bersabar dengan ujian ini dan semua agensi dan sahabat handai akan terus membantu kerana kita semua adalah bersaudara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!