Nadal, Kyrgios mara ke suku akhir Wimbledon

Nadal mara ke suku akhir Wimbledon selepas menewaskan Botic. - Foto AFP
Nadal mara ke suku akhir Wimbledon selepas menewaskan Botic. - Foto AFP
A
A
A

BINTANG tenis Sepanyol, Rafael Nadal kini berada dalam prestasi terbaiknya untuk memburu mahkota Wimbledon ketiga apabila mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir kejohanan itu.

Nadal mara selepas menewaskan pilihan ke-21 dari Belanda, Botic van de Zandschulp 6-4, 6-2, 7-6 (8/6) dan akan bertemu pemain Amerika Syarikat, Taylor Fritz di suku akhir.

“Secara peribadi, saya sangat gembira apabila dapat mara ke suku akhir selepas tiga tahun (berjauhan dari Wimbledon). Ia adalah sesuatu yang menakjubkan bagi saya.

“Saya harap mampu untuk kekalkan rentak positif ini sehingga tamat kejohanan walaupun bermula agak teruk pada awal saingan,” kata pilihan kedua dari Sepanyol itu.

Dalam satu lagi aksi perseorangan lelaki, pemain Australia, Nick Kyrgios yang cedera di bahu, mara ke suku akhir selepas menewaskan pemain Amerika Syarikat, Brandon Nakashima 4-6, 6-4, 7-6 (7/2), 3-6, 6-2.

Menanti Kyrgios di suku akhir ialah pemain Chile, Christian Garin yang menewaskan wakil Australia, Alex de Minaur 2-6, 7-5, 7-6 (7/3), 6-4, 7-6 (10/6).

“Saya tidak fikir untuk julang trofi atau mara ke separuh akhir mahupun perlawanan akhir nanti.

“Apa yang saya lakukan ketika ini adalah untuk memberi persembahan yang terbaik ketika beraksi di dalam gelanggang,” kata Kyrgios.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!