Jesus kini milik Arsenal
PEMAIN Brazil, Gabriel Jesus sah menjadi milik Arsenal selepas kelab itu mengesahkan sudah melengkapkan proses perpindahan pemain itu daripada Manchester City.
Penyerang berusia 25 tahun itu difahamkan mengikat kontrak jangka panjang bersama The Gunners dengan nilai perpindahan sekitar £45 juta (RM240.48 juta).
“Saya amat teruja. Kelab ini telah melakukan kerja yang hebat untuk membawa pemain ini (Gabriel) ke Emirates.
“Saya amat mengenali Gabriel secara peribadi dan kita semua mengenalinya berdasarkan prestasinya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL). Malah boleh dikatakan dia bermain agak baik di sini.
“Ini posisi yang sudah lama berada dalam radar kami dan kami berjaya mendapatkan pemain yang benar-benar kami inginkan. Jadi saya amat gembira dan tidak sabar untuk bekerjasama dengannya,” kata Mikel Arteta.
Jesus sebelum ini menyertai City daripada Palmeiras pada 2016 berjaya menjaringkan 95 gol sepanjang 234 penampilan dalam kesemua kejohanan di bawah bimbingan Pep Guardiola.
Malah pemain itu juga berjaya beraksi cemerlang pada penghujung musim 2021-22, yang mana dia menjaringkan empat gol ketika City menang 5-1 ke atas Warford pada April lalu.
Bagaimanapun, dengan persaingan yang akan dihadapinya selepas ketibaan Erling Haaland dan Julain Alvarez di Stadium Etihad, Jesus memilih untuk menyertai Arsenal bagi mendapatkan lebih waktu permainan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!