Itali isytihar darurat di wilayah utara dilanda kemarau
ROM - Itali pada Isnin mengisytiharkan darurat di lima wilayah utara yang paling terjejas akibat dilanda kemarau, lapor Agensi Berita Anadolu.
Mesyuarat kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Mario Draghi, bersetuju mengeluarkan dekri darurat untuk wilayah Emilia-Romagna, Friuli-Venezia Giulia, Lombardy, Piedmont dan Veneto, berikutan kemarau yang melanda Sungai Po dan lembangan Alpine timur.
Kerajaan turut memperuntukkan €36.5 juta (AS$38 juta) bagi menangani krisis itu. Peruntukan terbesar daripada dana itu (€10.9 juta atau AS$11.3 juta) akan disalurkan kepada wilayah Emilia-Romagna.
Itali dilanda kemarau terburuk dalam tempoh 70 tahun. Paras air di negeri-negeri di wilayah utara menyusut hingga separuh sejak awal tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Beberapa majlis perbandaran di utara terpaksa mengambil langkah-langkah pencatuan air minuman dan pengairan pertanian berikutan suhu melampau dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Pakar turut memberi amaran bahawa krisis kemarau di seluruh negara mengancam 30 peratus pengeluaran pertaniannya dan setakat ini menyebabkan kerugian bernilai hampir €3 bilion (AS$3.12 bilion) dalam sektor pertanian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!