Nadal buat persiapan rapi berdepan Fritz

Nadal. - foto PA
Nadal. - foto PA
A
A
A

BINTANG tenis Sepanyol, Rafael Nadal melakukan persiapan rapi menjelang aksi suku akhir Wimbledon berdepan pemain muda dari Amerika Syarikat, Taylor Fritz, pada Rabu.

Menurut Nadal, dia perlu melakukan persiapan sedemikian bagi memastikan kemaraan ke peringkat seterusnya dalam usaha memburu gelaran Grand Slam ke-23nya, kali ini.

“Semakin jauh saya mara dalam Wimbledon kali ini, semakin sengit perlawanan yang bakal saya tempuhi dan saya perlu bersedia secukupnya.

“Setelah menewaskan pemain Van de Zandchulp, saya bakal berdepan Fritz, pemain yang pernah menewaskan saya di Indian Wells, Mac lalu.

“Oleh itu, setelah melihatkan kepada prestasinya pada Wimbledon kali ini, saya tahu saya perlu melakukan persiapan yang lebih jika mahu melepasi pemain ini,” katanya.

Pada pusingan 16 Selasa lalu, Nadal menewaskan pemain Belanda, Botic van d Zandschulp 6-4, 6-2, 7-6 manakala Fritz menang 6-3, 6-1, 6-4 ke atas pemain Australia, Jason Kubler.

Sementara itu Nadal berkata, dia mengagumi corak permainan Fritz yang dilihatnya begitu bertenaga.

Oleh itu, Nadal turut meramalkan aksi berdepan pemain berusia 24 tahun bakal berlangsung sengit kali ini.

"Saya menjangkakan aksi yang sengit kerana masing-masing mahu melakar sejarah mara ke separuh akhir dan seterusnya ke final Wimbledon kali ini.

"Namun apa yang pasti, saya akan mengerah semua pengalaman yang saya miliki bagi melepasi cabaran pemain ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!