'Gelanggang sudah dibuka'

Jamil Khir
Jamil Khir
A
A
A

YAN - Calon PH dan BN bagi PRK Rantau mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing untuk memenangi kerusi yang dipertandingkan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, PH sebagai sebuah kerajaan di Pusat dan negeri pastinya mengerahkan semua kekuatannya.

Katanya, bahkan sebelum PRK bermula, ahli Parlimen Sarawak sudah dilaporkan memberikan wang kepada pengundi di Rantau.

"Kita yakin selepas ini akan banyak lagi pemberian dan pengumuman projek dan bantuan yang akan diumumkan.

"Jika di Semenyih, Bantuan Sara Hidup untuk orang muda diumumkan bersama cadangan beberapa tol yang akan dikecualikan pada jam 11 malam hingga 5 pagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini

Menurut Jamil, BN telah menampilkan calon popular yang telah sedia dikenali umum di Malaysia, lebih-lebih lagi di Rantau.

"Beliau yang lebih mesra dipanggil Tok Mat menjadi arkitek pembangunan Negeri Sembilan sewaktu menjawat jawatan Menteri Besar.

"Di Rantau nama Tok Mat mesra di setiap bibir semua bangsa pengundi Rantau dan semoga ia diterjemahkan juga di peti undi nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Jamil, kelebihan Tok Mat juga ialah sokongan padu Pas yang disedari sejak awal telah bersama dengan BN di Rantau.

"Pas juga telah meletakkan jenteranya berganding bahu di setiap pusat mengundi bersama BN.

"Bagi calon PH tentunya beliau lebih bersemangat bertanding pada kali ini kerana hasrat untuk bertanding tertangguh semasa PRU14 lalu kerana tidak sempat menyerahkan borang pencalonan," katanya.

Jami berkata, calon PH juga mempunyai banyak cadangan termasuk membina balai bomba meskipun ia sudah wujud di Rantau.

"Beliau beruntung kembali mewakili PH walaupun banyak suara pengundi khususnya masyarakat India menolaknya.

"Rakyat perlu menyampaikan mesej dengan jelas kepada kerajaan melalui undi bahawa mereka telah gagal menjaga kebajikan rakyat dan ekonomi semakin merudum," katanya.

Jamil juga berkata, petani dan nelayan terus menderita kerana hilang pelbagai bantuan yang dinikmati pada zaman pemerintahan BN.

"Bahkan yang terbaharu indeks kesejahteraan merudum dari tangga ke-35 jatuh ke tangga 80 setelah 10 bulan PH memerintah.

"Semoga PRK Rantau sekali ini menjadi seri medan luahan rasa dan hati rakyat melalui peti undi tentang kegagalan pihak pemerintah negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!