Dilema antara penjenayah dan ayam goreng

Extreme Job
Extreme Job
A
A
A

EXTREME Job, sebuah lagi filem aksi komedi kepolisan dari Korea yang kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 28 Mac lalu.

Tidak dinafikan pada awalnya ramai yang skeptikal dan menyangkakan filem ini hanyalah sebuah komedi klise yang mungkin hanya mengulang formula filem-filem aksi kepolisan sedia ada.

Bagaimanapun anggapan itu ternyata silap apabila filem arahan Lee Byeong-Heon ini tampil sebaliknya dengan memaparkan elemen komedi super kelakar yang digarap dengan begitu kemas, namun santai dan dekat dengan penonton.

Tidak hairanlah kenapa filem ini berjaya mengumpulkan lebih 14.5 juta penonton sepanjang tayangannya di Korea pada Januari lalu dan menjadi filem Korea kedua terlaris sepanjang zaman selepas The Admiral: Roaring Currents (2014).

Extreme Job mengisahkan satu pasukan detektif dianggotai oleh lima sekawan yang mempunyai kehebatan berbeza, namun sering dipandang rendah oleh pasukan lain termasuk pegawai atasan mereka kerana dianggap hambar dalam setiap tindakan mereka.

Suatu hari, Detektif Go yang merupakan ketua pasukan ini ditawarkan untuk mengendalikan sebuah kes penyeludupan dadah terbesar. Demi membuktikan kehebatan mereka dan tidak mahu pasukannya terus diperlekehkan, Detektif Go mengambil cabaran tersebut.

Dia bersama anak-anak buahanya, Detektif Ma, Detektif Jang, Detektif Young Ho dan Detektif Jae Hoon mula menyusun strategi dan melakukan penyamaran dengan menjadikan sebuah restoran ayam goreng sebagai markas mereka.

Namun belum pun bermula, pemilik restoran tersebut terpaksa menutup operasi kerana kekurangan pelanggan. Tidak mahu misi mereka gagal, kelima-lima detektif yang bersifat lurus ini membuat keputusan untuk mengambil-alih restoran kerana ia adalah lokasi strategik untuk mereka mengawasi tindak-tanduk sindiket yang diburu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun tanpa disangka, sejak mereka mengambil alih, restoran tersebut menjadi terkenal dalam masa yang singkat kerana keenakan ayam goreng yang dimasak istimewa oleh Detektif Ma.

No Image Caption

Situasi itu menjadikan tumpuan mereka terbahagi dua antara tugas memburu penjenayah dan keperluan memenuhi permintaan pelanggan di restoran ayam goreng.

Melihat kepada sinopsisnya, pasti kita sudah dapat membayangkan bagaimana kecohnya lima sekawan ini menguruskan tugasan hakiki dan tugasan yang tidak sengaja tergalas di bahu mereka.

Dari minit awal filem bermula sehinggalah ke penghujungnya, penonton tidak berhenti gelak ketawa dengan lawak-lawak spontan para pemainnya. Bukan hanya dengan aksi lucu bersahaja, tetapi dialog-dialog yang dituturkan juga sangat di luar jangkaan.

Meski isu-isu yang diketengahkan dalam filem ini agak berat, namun ia disampaikan kepada penonton dengan cara yang cukup santai dan menghiburkan.

Pun begitu, ia tidak bermakna pengarahnya sambil lewa dalam babak aksi atas tiket komedi. Sebaliknya setiap babak aksi dilakukan dengan cukup baik dan berkesan. Malah babak aksi pergaduhan pada penghujung cerita juga sangat realistik dan memberikan impak besar kepada penonton.

Malah di sebalik gelak tawa juga, filem ini turut menyelitkan elemen emosi apabila melibatkan soal kekeluargaan dan persahabatan.

Secara keseluruhannya, Extreme Job berbaloi untuk ditonton malah sesuai untuk hiburan seisi keluarga.

FILEM: Extreme Job

BAHASA: Korea

KLASIFIKASI: P13

GENRE: Aksi/komedi

DURASI: 111 Minit

TARIKH TAYANGAN: 28 Mac 2019

PENGARAH: Lee Byeong-Heon

PELAKON: Ryu Seung-Ryong, Lee Hanee, Jin Seon-Kyu, Lee Dong-Hwi, Gong Myung

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!