PRU15: Kerusi tambahan MCA bergantung rundingan
BIDOR - Sebarang pertambahan kerusi yang akan ditandingi MCA pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bergantung kepada rundingan yang dibuat bersama rakan komponen Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, sesiapa sahaja calon yang diumumkan mewakili BN perlu diberikan sokongan sepenuhnya.
Menurutnya, perkara paling penting adalah memastikan kemenangan BN pada PRU15 untuk membolehkan kerajaan lebih stabil dibentuk bersama dengan parti komponen yang terus setia dengan gabungan tersebut.
"Perkara mengenai rundingan kerusi dan sebagainya sebagaimana tradisi BN, itu akan dirunding. Saya tak perlu mengulas lebih lanjut. Yang penting, sesiapa pun calon diketengahkan daripada parti komponen BN, itulah calon kita. Itu sangat penting.
"Setiap calon, tak kira daripada parti komponen mana, hendaklah diberikan sokongan sepenuhnya untuk memastikan kemenangan memihak kepada kita sama ada untuk Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) ataupun mana-mana pilihan raya yang diadakan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pejabat Penyelaras MCA Parlimen Tanjung Malim di Taman Chit Loong, di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada MCA mengintai kerusi ditinggalkan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) selepas meninggalkan BN sekali gus menambah kerusi untuk ditandingi MCA pada PRU15 nanti.
Dr Hang Soon berkata, biarpun sokongan rakyat kembali kepada BN berdasarkan beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN), jentera parti mesti terus bekerja keras untuk memastikan momentum tersebut kekal.
Katanya, pengalaman pahit menjadi pembangkang antara cabaran yang memastikan semangat setiakawan antara parti-parti komponen BN kekal sehingga ke hari ini.
Dalam pada itu, Dr Hang Soon turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melantiknya sebagai penyelaras Parlimen Tanjung Malim.
Menurutnya, begitu juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang melantik beliau sebagai Penyelaras MCA-BN negeri Perak pada 5 Jun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!