Perlu ada 'WOW FACTOR' : Datuk Juhari, KP Istana Budaya
SEMPENA menyambut Hari Teater Sedunia (HTS), hari bagi pencinta seni teater di seluruh dunia pada 27 Mac lalu, Bicara Seni berkongsi pandangan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkenaan industri teater tanah air hari ini.
1. Selaku Ketua Pengarah Istana Budaya, bagaimanakah Datuk Juhari melihat perkembangan industri teater hari ini?
Perkembangan pementasan teater di Malaysia masih dalam peringkat pembangunan dan sedang menuju ke arah kemajuan seni seperti yang dialami oleh kebanyakan negara barat seperti benua Amerika dan benua Eropah serta benua Asia Timur seperti Jepun, Korea, India dan Thailand.
Di negara-negara yang disebutkan ini, seni dan hiburan telah menjadi sebuah industri yang membantu pembangunan ekonomi negara masing-masing.
Prospek pementasan seni teater sebagai suatu produk yang boleh menguntungkan negara begitu cerah dan telah terbukti. Contohnya produksi Puteri Gunung Ledang telah meletakkan tanda aras tertinggi dalam seni pentas teater di Malaysia.
2. Bagaimana pula dari segi kemajuan? Adakah ia semakin diterima baik oleh orang awam atau sebaliknya?
Sejak wujud Istana Budaya, Kuala Lumpur Performing Art Centre serta tempat lain di Malaysia, kemajuan dari segi peningkatan khalayak yang hadir menonton teater sangat memberangsangkan.
Senario ini menunjukkan masyarakat tempatan sudah mula timbul minat untuk hadir menonton teater produksi tempatan dan produksi luar negara dengan membayar tiket sehingga mencapai angka ribu.
3. Apakah yang perlu ditambah baik lagi supaya dapat menarik minat atau memupuk orang awam memberikan sokongan terhadap industri teater?
Penambahbaikan perlu ditingkatkan dari segi penggunaan elemen teknologi terkini juga elemen kekaguman yang mempunyai ‘wow factor’ yang belum produksi lain tampilkan. Ini satu cabaran buat tenaga kreatif .
4. Bagaimanakah sesebuah pementasan itu boleh dianggap atau dikira berjaya? Apakah antara elemennya?Sesebuah pementasan dianggap berjaya sekiranya dapat menarik ramai khalayak hadir menonton dan kehebatannya diperkatakan satu Malaysia serta menjadi tular di laman sosial yang secara tidak langsung meningkatkan keuntungan hasil jualan tiket.
Selain daripada itu, pementasan turut menampilkan naskhah-naskhah segar yang bersifat tidak stereotaip serta mempunyai jenama yang dikenali masyarakat.
Antaranya pernah dipentaskan di Istana Budaya adalah seperti Muzikal P.Ramlee, Muzikal Ola Bola, Muzikal Mak Cun, Muzikal Lat Kg Boy, Muzikal Upin dan Ipin serta teater Natrah yang telah menempa nama dalam industri pementasan teater sehingga menjadi ‘trending’ kepada generasi kini.
5. Apakah ciri-ciri seorang pelakon pentas yang bagus?Ciri seorang pelakon pentas yang bagus mestilah mempunyai kemahiran fizikal yang baik untuk mengaplikasikan naskhah lakon sama ada dengan dialog atau tanpa dialog.
Selain itu, vokal yang mantap dari segi artikulasi (pengucapan dialog yang jelas) dan intonasi (tekanan suara dalam pengucapan dialog agar tidak mendatar dan membosankan.
Seterusnya, memahami mental dan emosi watak yang dilakonkan (penghayatan dan emosi yang sesuai dengan watak).
6. Apakah antara cabaran utama dalam menjayakan pementasan teater pada pandangan mata Datuk Juhari?Antara cabaran menjayakan pementasan teater adalah apabila terdapat kekangan bajet di mana tiada sokongan daripada syarikat-syarikat gergasi yang dapat membantu menanggung kos-kos produksi bagi menghasilkan pementasan bertaraf dunia.
Pementasan yang menggunakan naskhah yang serius, teater tradisional dan tidak menampilkan pelakon popular adalah agak sukar untuk mendapat sambutan walaupun nilai estetika adalah tinggi.
Kini, rakyat lebih minat pementasan yang lebih bersifat komersial.
7. Berapa lamakah masa latihan yang solid perlu dijalani oleh pelakon pentas sebelum pementasan berlangsung?Masa latihan sesebuah pementasan teater itu bergantung kepada skala sesebuah pementasan itu.
Sekiranya menampilkan pelakon yang ramai, babak yang banyak, lakonan yang menggunakan banyak pergerakan fizikal serta penggunaan teknologi pentas yang maksima, maka bilangan hari latihan agak lama iaitu empat hingga ke lapan bulan.
Tetapi jika sebaliknya maka latihan dalam lingkungan satu ke tiga bulan memadai di mana bergantung juga kepada profesionalisme pelakon yang sedia memberi komitmen.
8. Bagaimanakah Datuk Juhari melihat generasi baharu/pelapis yang bakal mewarnai dunia teater kelak?
Di Malaysia, terdapat banyak universiti awam yang menawarkan pengajian seni persembahan.
USM, UiTM, UM, ASWARA, Unimas, UMS dan UPSI. Rata-rata pusat pengajian, fakulti dan akademi ini dibuka sekitar tahun 1990an.
Maka generasi baharu inilah bakal mewarnai dunia teater di Malaysia. Malah dapat juga mewujudkan peluang pekerjaan di mana mereka juga adalah antara yang turut terlibat sebagai tenaga produksi pentas dalam pementasan teater-teater di Malaysia.
9. Apakah cabaran Datuk Juhari selaku KP IB untuk memartabatkan industri teater bagi tahun 2019 di samping ada konflik penghutang oleh penerbit teater?Cabaran utama Istana Budaya dalam memartabatkan industri teater pada tahun 2019 adalah mementaskan atau menerbitkan teater dengan kekangan bajet yang minima.
Sementelah itu mengenal pasti penerbit tempatan yang berkemampuan untuk mementaskan teater berskala besar di Istana Budaya apabila kita melihatkan kepada kesukaran mendapat tajaan masa kini.
Oleh sebab itu, bagi mengurangkan masalah hutang daripada para penerbit tempatan dengan dibantu oleh bahagian perundangan kementerian SOP pementasan di Istana Budaya telah dimantapkan. Pemiutang yang telah diberi tiga kali amaran akan didakwa di mahkamah.
Selain itu selera dan minat penonton yang berubah juga kadangkala memberi tekanan kepada penerbit.
Persaingan dari negara jiran seperti Singapura serta minat masyarakat kepada budaya luar terutama KPOP juga memberi cabaran kepada dunia teater di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!