Saran semua universiti contohi UPSI

Ahmad Masrizal (tengah) ketika mengadakan tinjauan harga makanan di UPSI pada Selasa.
Ahmad Masrizal (tengah) ketika mengadakan tinjauan harga makanan di UPSI pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berpuas hati dengan keupayaan pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam menguruskan harga makanan kepada pelajarnya dengan menyediakan harga mampu bayar.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan beliau pada Selasa, semua harga makanan di kampus tersebut adalah terkawal sepenuhnya, malah harga makanan jauh lebih murah berbanding di luar.

“Secara umum daripada tinjauan saya, semua harga makanan di dalam kampus adalah terkawal sepenuhnya. Harga makanan di kafetaria di dalam universiti jauh lebih murah berbanding di luar.

“Saya puas hati dengan keupayaan pihak pengurusan universiti dalam usaha memastikan pihak operator makanan memahami aspirasi kerajaan menguruskan soal harga makanan dalam kampus,” katanya.

Mengulas lanjut Ahmad Masrizal turut merumuskan bahawa ‘Collaborative Effort’ yang dimodelkan UPSI, iaitu melibatkan tiga pihak antaranya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), universiti dan operator makanan wajar diberikan pujian.

Menurutnya, masing-masing telah mencapai kata sepakat mengenai harga makanan yang mampu dibayar oleh pelajar.

Ahmad Masrizal (tengah) memberitahu bahawa semua harga makanan di kampus tersebut adalah terkawal sepenuhnya, malah harga makanan jauh lebih murah berbanding di luar.
Ahmad Masrizal (tengah) memberitahu bahawa semua harga makanan di kampus tersebut adalah terkawal sepenuhnya, malah harga makanan jauh lebih murah berbanding di luar.

“Dalam usaha kita memerangi kemelut kos sara hidup dan inflasi yang semakin meningkat, ini adalah satu bukti bahawa usaha semua pihak dan rakyat adalah amat penting.

“Kerajaan perlukan sokongan dan dokongan daripada semua. Di sinilah letaknya ukuran semangat kenegaraan kita. Solidariti Keluarga Malaysia.

“Saya yakin jika semua mampu menggembleng usaha kita pasti akan mampu mengharungi fasa ini dengan lebih tuntas,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyarankan kepada semua universiti yang ada dalam negara untuk sama-sama mengambil langkah yang dilakukan UPSI.

“Saya juga menyarankan kepada semua universiti agar mewujudkan jawatankuasa khas pemantauan kos sara hidup pelajar yang mana MPP perlulah diaktifkan peranannya,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!