Ada pihak cabul undang-undang, takutkan pihak lawan: Tun M
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa terdapat pihak tertentu melakukan 'pencabulan' undang-undang dengan menakut-nakutkan atau melumpuhkan pihak lawan dalam arena politik.
Beliau berkata, disebabkan keadaan itu, rakyat Malaysia menyuarakan penentangan dan aduan mereka secara tersembunyi kerana khuatir akan disoal oleh polis.
“Rakyat tidak senang dengan keadaan ini. Jika ada peristiwa pencabulan undang-undang bagaimanakah mereka akan dapat perlindungan. Mereka berhak mendapat penjelasan setakat mana undang-undang boleh dicabul dan oleh siapa.
“Tanpa penjelasan berkenaan undang-undang yang tidak perlu dipatuhi, rakyat mungkin melakukan sesuatu yang mendedahkan mereka kepada tindakan tertentu. Sesungguhnya rakyat Malaysia amat ‘timid’ atau mudah takut.
“Hanya jika disoal oleh polis mencukupi untuk menakutkan mereka. Sebab itu mereka tidak pun berani mengadu jika dicabul, atau berdepan dalam arena politik jauh sekali menjadi calon untuk parti lawan,” tulisnya menerusi ciapan di Twitternya pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, situasi tersebut akan memberikan peluang kepada pihak tertentu untuk bebas melakukan rasuah dan jenayah sekiranya mereka berkuasa.
“Hasilnya ialah negara mengalami pentadbiran yang buruk kerana sebenarnya tidak terlaksana ‘the rule of law’. Akan hancurlah negara tercinta ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, walaupun perlembagaan tidak menyebut berkenaan adanya keadaan tertentu yang tidak tertakluk kepada undang-undang, tetapi beliau terdapat beberapa peristiwa menunjukkan undang-undang dicabul dengan bebas.
Malah dakwanya, negara juga diberitahu ada pihak yang kedudukannya tidak tertakluk kepada undang-undang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!