Perkenal Menu Keluarga UTeM, bantu pelajar B40
MELAKA - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkenalkan konsep Menu Keluarga UTeM sebagai langkah mengawal kenaikan harga makanan dan minuman di dalam kampus bagi membantu pelajar golongan B40.
Naib canselornya, Profesor Dr Massila Kamalrudin berkata, Menu Keluarga UTeM merupakan makanan berat dan berkhasiat mengandungi set nasi berlauk bersama air yang diperkenalkan menerusi dua variasi iaitu dengan harga RM3 dan harga RM4 bagi set makanan.
"Bagi memantapkan kawalan harga makanan dan terus cakna kebajikan pelajar, kami akan melaksanakan sistem pemberian bantuan makanan kepada pelajar B40.
"Ini bagi memastikan pelajar UTeM tidak terbeban meskipun dunia dan negara sedang menghadapi gelombang kenaikan harga barangan," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Menurut Massila, kebajikan pengusaha kafetaria turut dipelihara kerana mereka berhadapan kenaikan harga barangan namun perlu mengekalkan harga makanan pada kadar sedia ada.
"Justeru UTeM bersetuju membantu meringankan bebanan kos pengusaha kafetaria UTeM dengan memberikan pengecualian sewa bulanan bermula bulan ini sehingga Disember depan.
"Situasi menang-menang ini kerana UTeM bersama pelajar-pelajarnya serta pengusaha kafetaria di bawah persekitaran keluarga yang prihatin dan berganding erat antara satu sama lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!