Malaysia Masters: Jin Wei tekad beri aksi terbaik
PERSEORANGAN wanita profesional negara, Goh Jin Wei mengharap tuah beraksi di laman sendiri untuk menampilkan aksi yang terbaik Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2022 apabila berjaya meloloskan diri ke pusingan pertama.
Jin Wei yang mengalami kecederaan hamstring ketika menyertai kejohanan pada Denmark Masters dan Antarabangsa Itali sebelum ini mengakui sudah pulih sepenuhnya, sekali gus tekad memberi aksi berkualiti di hadapan penyokong sendiri
"Satu perlawanan yang cukup sukar untuk saya hari ini, kerana dia (Malvika) memberikan tentangan cukup baik, terutamanya pada set kedua. Permulaan yang cukup baik untuk saya di Malaysia Masters.
"Memang betul saya ada alami kecederaan hamstring dalam dua kejohanan sebelum ini tetapi sekarang sudah pulih sepenuhnya. Saya mahu tampilkan aksi terbaik buat penyokong Malaysia," katanya selepas tamat perlawanan.
Pada aksi kelayakan yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil, juara remaja dunia dua kali itu mengenepikan cabaran pemain India, Malvika Bansod menerusi kemenangan straight set 21-10, 21-17.
Dalam pada itu, juara remaja dunia dua kali itu meminta orang ramai tidak meletakkan harapan terlalu tinggi walaupun dia memiliki rekod cukup baik ketika beraksi di pentas itu sebelum ini.
“Kali terakhir saya bermain pada Malaysia Masters adalah tiga tahun lalu, jadi sekarang sudah berbeza kerana sebelum ini saya terpaksa berehat kerana mengalami kecederaan.
“Jadi saya kena bermula dari kosong walaupun sebelum ini di pentas sama pernah mengalahkan beberapa jagoan dunia,” ujarnya.
Pada pusingan pertama yang dijadualkan berlangsung pada Rabu, Jin Wei yang kini berada di ranking ke-69 dunia, bakal membuat perhitungan dengan pemain Amerika Syarikat (AS), Zhang Beiwen di pusingan pertama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!