OACP Kemas tumpu lima bidang utama
SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menggariskan lima bidang utama dalam Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2022-2026 bagi mendukung usaha pemantapan tadbir urus, integriti dan antirasuah agensi itu.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, lima bidang berkenaan adalah Pendidikan Awal Kanak-kanak, Pendidikan Kemahiran, Pembangunan Komuniti, Tadbir Urus dan Perolehan.
"Menerusi lima bidang keutamaan itu, lima strategi telah dikenal pasti merangkumi enam objektif dengan 25 inisiatif secara keseluruhan yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun (2022-2026) oleh warga Kemas di semua peringkat.
"Bagi memastikan keberkesanan pelan ini, pelaksanaan semua inisiatif akan dipantau dan dinilai secara konsisiten dengan mengambil kira maklum balas, panduan dan nasihat daripada pelbagai pihak agar usaha yang dijalankan sentiasa relevan serta dapat diukur tahap keberkesanannya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Majlis Pelancaran OACP Kemas yang diadakan pada Rabu turut dihadiri Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin.
Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata, visi OACP Kemas iaitu 'Kemas Berintegriti Rasuah Diperangi' akan dapat dicapai sekiranya setiap warganya membudayakan konsep pencegahan serta memelihara integriti dalam pelaksanaan tanggungjawab dan tugasan harian.
Katanya, ia termasuk menolak amalan rasuah, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa serta mengamalkan polisi tidak menerima hadiah dari mana-mana individu mahupun syarikat kepada warga Kemas.
"Kemas menerusi Unit Integriti aktif berkempen melalui siri ceramah, forum dan taklimat 'Whistle Blower' di seluruh negara untuk memberi kesedaran kepentingan menangani gejala rasuah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!