KPT saran tubuh jawatankuasa pantau kos sara hidup pelajar
TANJUNG MALIM - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyarankan semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mewujudkan jawatankuasa khas bagi memantau kos sara hidup pelajar.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Ahmad Masrizal Mohamad berkata, jawatankuasa tersebut mesti dianggotai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi mengaktifkan secara maksimum peranan mereka sebagai wakil pelajar.
Menurutnya, jawatankuasa itu juga perlu melibatkan semua pengurusan universiti.
"Saya harap MPP di semua IPTA dapat membantu di dalam jawatankuasa ini sebab mereka orang paling dekat dengan pelajar dan kita harap ia dapat disegerakan secepat mungkin.
"Kita tidak boleh menunggu, sebab saya yakin kemasukan pelajar ke universiti akan bertambah selepas Ogos nanti," katanya kepada pemberita selepas hadir meninjau makanan di Kafe Kolej Kediaman Harun Aminurrashid, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Ahmad Masrizal berkata, selain menu Keluarga Malaysia yang diperkenalkan kerajaan untuk membantu pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT), menu-menu tambahan lain yang lebih berpatutan turut digalakkan untuk diwujudkan.
Katanya, sama ada IPTA mahupun IPTS boleh memperkenalkan set-set makanan pada harga lebih rendah untuk membantu meringankan perbelanjaan pelajar seperti dilakukan UPSI.
Sementara itu, beliau berkata, KPT juga akan melihat keperluan menambah jumlah Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar IPT susulan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Menurutnya, perbincangan lanjut bersama PTPTN akan dilaksanakan berhubung perkara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!