17 premis makanan kotor di Kelantan diarah tutup
KOTA BHARU - Sebanyak 17 daripada 4,097 premis makanan di Kelantan diarahkan tutup setakat ini berikutan gagal mematuhi peraturan kebersihan dari segi aspek penyediaan dan penyimpanan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) pada tahun ini, didapati 75 peratus premis dikategorikan Gred A, 23 peratus Gred B dan dua peratus Gred C.
"Kita juga mendapati sejak tiga tahun lepas sehingga kini, sebanyak 1,079 kes keracunan direkodkan antaranya melibatkan kantin dan dapur asrama sekolah serta institusi pengajian tinggi.
"Kerajaan negeri memandang serius kejadian kes keracunan makanan dan kita menyokong sepenuhnya pelaksanaan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dengan harapan dapat meningkatkan tahap kesedaran pengusaha dan pengendali makanan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Negeri Kelantan, di sini pada Selasa.
Dr Izani turut berharap supaya JKNK mengadakan pemeriksaan terhadap penjaja di tepi jalan kerana rata-rata mereka melakukan penyediaan makanan di rumah dan tahap kebersihan yang diamalkan amat diragui. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!