Dumbo, anak gajah yang boleh terbang
JIKA disenaraikan filem animasi dari Walt Disney, rasanya tidak cukup satu muka surat.
Apatah lagi bagi mereka yang membesar sekitar tahun 80an, 90an, atau mungkin tahun sebelum itu lagi, filem-filem seperti Cinderella, Aladdin, Beauty and the Beast, The Jungle Book, Peter Pan, Dumbo dan beberapa filem Disney yang lain, bukanlah asing.
Selepas berjaya merealisasikan impian peminat menerusi siri live action filem animasinya sebelum ini, Walt Disney Studios kembali mengimbau kenangan ramai menerusi filem, Dumbo.
Filem pertama Dumbo diterbitkan pada tahun 1941, dihasil berdasarkan novel oleh Helen Aberson dan Harold Pearl.
Selepas 78 tahun, Walt Disney kembali dengan live action Dumbo dan masih mengekalkan asas cerita filem ini.
Diarahkan oleh pengarah yang tidak asing lagi, Tim Burton, live action Dumbo ini mengisahkan tentang Dumbo, anak gajah yang mempunyai telinga besar dan ini membuatkan menjadi bahan jenaka di sarkas milik Max Medici.
Bekas bintang Holt Farrier dan anaknya Milly dan Joe telah direkrut oleh Medici untuk menjaga Dumbo. Sarkas itu membuat kemunculan semula dengan hebat apabila mereka mendapat tahu Dumbo boleh terbang, yang mana ia menarik perhatian usahawan V.A. Vandevere.
Dumbo telah direkrut untuk kolaborasi hiburan terbaru milik Vandevere iaitu sarkas Dreamland. Namun ia tidak seindah yang disangka apabila Holt mengetahui rahsia gelap mengenai Dreamland.
Baiklah menyentuh mengenai pembikinan filem ini, pada pandangan penulis, Dumbo bukanlah sebuah filem yang gagal atau tidak memenuhi selera penonton tempatan.
Bagi penulis, ia masih sebuah filem yang hebat. Seolah-olah melihat visual yang dibayangkan sebelum ini terbentang di layar lebar.
'Penjelmaan' Dumbo dan Jumbo dibuat dengan cukup baik sekali dan walaupun ia hanya sekadar kesan khas, namun penonton akan melihat ia seolah-olah benar wujud.
Tambahan pula dengan lakonan mantap setiap pelakon yang memainkan peranan mereka dengan baik untuk menyokong lagi kewujudan Dumbo.
Babak yang memperlihatkan Dumbo berpisah dengan ibunya, Jumbo, bagi penulis adalah babak yang cukup menyentuh perasaan.
Walaupun tanpa dialog seperti filem animasinya, namun ia tetap memberi kesan yang tersendiri kepada penonton.
Kasih sayang antara manusia dan haiwan serta antara haiwan dan haiwan juga dapat dilihat, juga dirasai melatari filem ini.
Ibaratnya filem ini memberi sentimental value kepada peminat, yang dahulu masih kecil dan mungkin kini sudah mempunyai keluarga sendiri.
Bagi anak-anak kecil pula, aksi Dumbo pasti akan 'memikat' hati mereka dan malah terhibur dengan aksi Dumbo yang bersahaja.
Filem ini secara keseluruhannya berbaloi untuk ditonton seisi keluarga dan ada keistimewaan yang tersendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!