MACP cadang lanjutkan hak cipta P Ramlee

Rumaizi (dua dari kiri) bersalaman dengan M Nasir (dua dari kanan) selepas selesai menandatangani MoU sambil diperhatikan oleh Mary (kanan) di MBI pada Selasa.
Rumaizi (dua dari kiri) bersalaman dengan M Nasir (dua dari kanan) selepas selesai menandatangani MoU sambil diperhatikan oleh Mary (kanan) di MBI pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) bercadang untuk melanjutkan tempoh hak cipta karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang akan berakhir tahun depan.

Pengurus Besar MACP, Mary Yap berkata, tempoh matang perlindungan royalti bagi lagu-lagu milik legenda itu akan berakhir apabila mencecah tempoh 50 tahun.

"Tempoh hak cipta ada jangka hayatnya. Mengikut Akta Hak Cipta 1987 tempoh lupus adalah 50 tahun seperti lagu-lagu P Ramlee akan luput akhir tahun depan.

"Kami tengah buat perbincangan dengan pihak-pihak berkuasa untuk melanjutkan tempoh hak cipta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang diwakili Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin dan Pengerusi MACP, Datuk M Nasir di sini pada Selasa.

MBI menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang memperoleh lesen daripada badan pengutip royalti berdaftar itu.

Mary berkata, inisiatif yang dilaksanakan MBI itu merupakan penghargaan tertinggi buat pengkarya muzik tempatan.

"MBI mendapat lesen MACP untuk radio dan televisyen milik mereka. Harap PBT lain dapat mengikut langkah MBI yang mana penggunaan muzik di bawah penguasaan mereka diberi pengiktirafan.

"Mengikut Akta Hak Cipta pengguna muzik di tempat awam harus dapatkan lesen kerana MACP mewakili para pencipta dan karya muzik. Lesen ini dilaksanakan sejak tahun 1989 dan MACP melesenkan banyak premis perniagaan di seluruh negara.

"Tetapi banyak pemilik premis enggan memohon lesen dan kita memohon kerjasama MBI memberi kesedaran dalam melesenkan perniagaan tersebut," katanya.

Sementara itu, Rumaizi berkata, menerusi MoU itu, MBI akan memastikan RadioTV MBI serta acara-acara persembahan awam anjuran pihaknya mendapat lesen sah.

"Ia sejajar dengan hasrat serta inisiatif MBI bagi merealisasikan Ipoh sebagai bandar raya seni.

"Kerjasama ini menunjukkan MBI adalah badan pengguna muzik yang prihatin dan sentiasa responsif dalam menegakkan hak-hak pengkarya muzik," katanya.

Tambahnya, MBI sentiasa menyokong usaha memartabatkan karya seni anak tempatan kerana ia pasti menjadi sebuah warisan dan aset kebudayaan tinggi nilainya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!