JPJ sita kenderaan 'ulat' di KLIA2

Antara kenderaan yang disita dalam operasi 'ulat' di KLIA2, Sepang pada Isnin.
Antara kenderaan yang disita dalam operasi 'ulat' di KLIA2, Sepang pada Isnin.
A
A
A

SEPANG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor menyita tiga kenderaan 'ulat' yang digunakan bagi menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram dalam operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini pada Isnin.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, operasi seharian itu turut menahan tiga pemandu berusia lingkungan 40-an.

"Tiga kenderaan telah disita iaitu jenis Perodua Kancil, Perodua Alza dan Toyota Innova manakala pemandunya ditahan untuk direkod keterangan.

"Siasatan awal mendapati 'ulat' tersebut mengenakan tambang kepada penumpang warganegara dan pelancong asing antara RM100 hingga RM300 dari KLIA2 ke Kuala Lumpur; Mentakab, Pahang dan Batu Pahat, Johor," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Tambahnya, sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama.

"Orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA atau KLIA 2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing," ujarnya.

Kata beliau, penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu dan pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram.

"Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ berserta butiran pengadu dan butiran aduan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!