Malaysia pertimbang dapatkan sumber gandum dari Turkiye: PM
ISTANBUL - Malaysia berhasrat untuk mempelbagaikan sumber makanan importnya, termasuk kemungkinan membeli tepung gandum dari Turkiye ketika dunia terus mengalami kekangan bekalan, lonjakan harga makanan serta inflasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tiba di sini bagi memulakan lawatan rasmi selama empat hari ke Turkiye, berkata aspek jaminan keselamatan makanan juga adalah antara komponen utama dalam beberapa siri pertemuan beliau dengan peneraju industri republik itu.
Menurutnya, selain memperkukuh hubungan dua hala dengan Turkiye, beliau akan turut memanfaatkan peluang untuk menarik lebih banyak pelaburan dari negara itu selain mendapatkan sumber makanan seperti tepung gandum.
Pengeluaran gandum tahunan Turkiye mencecah hampir 20 juta tan dan republik tersebut merupakan pengeksport bersih komoditi tersebut.
"Satu pertiga daripada pengeluaran gandum dunia adalah dari Ukraine dan Russia. Namun, konflik perang antara kedua-dua negara itu selain keputusan India mengurangkan eksport gandum, telah memberi tekanan hebat ke atas bekalan makanan itu.
"Bagaimanapun, kerajaan Malaysia terus memberi subsidi bagi mengurangkan beban rakyat,” katanya.
Ismail Sabri berkata, demikian pada majlis makan tengah hari bersama Keluarga Malaysia yang menetap atau menyambung pengajian di negara itu, termasuk beberapa penuntut yang melakukan perjalanan bas selama 23 jam dari Armenia untuk menemui Perdana Menteri.
Selepas majlis itu yang dihadiri oleh kira-kira 250 orang, Perdana Menteri mengadakan pertemuan berasingan dengan wakil daripada sembilan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan firma Turkiye.
Ini termasuk OYAK, Majlis Penyelidikan Saintifik dan Teknologi Turkiye (TUBITAK), Dana Kekayaan Turkiye (TWF), GAMA Enerji A.S (GEAS), Tuyar, EMS MOBIL, FNSS, Istanbul Shipyard dan HAVELSAN.
Pada mesyuarat perniagaan terbabit, Ismail Sabri yang mengunjungi negara itu bagi memenuhi jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan, telah diiringi oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.
Sesi tersebut turut disertai oleh pihak serta syarikat dari Malaysia termasuk Khazanah Nasional Bhd (KNB), Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Boustead Holdings Bhd, Tenaga Nasional Bhd dan SilTerra.
Menurut pegawai kerajaan Malaysia, antara agenda utama dalam mesyuarat itu menyentuh aspek bekalan makanan yang melibatkan Boustead Holdings dan OYAK, dana persaraan pertama dan terbesar Turkiye.
OYAK mempunyai tiga bidang pelaburan utama iaitu kewangan, ekuiti dan hartanah.
Menerusi pemilikan dalam lebih daripada 310 unit perniagaan dan 110 kilang yang beroperasi di enam benua, OYAK bertapak kukuh dalam sektor-sektor utama termasuk perlombongan dan metalurgi, simen konkrit, kertas, automotif, logistik, kewangan, bahan kimia, makanan, pertanian, tenaga serta perkhidmatan.
Pada 28 Mac lepas, Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah memberi amaran bahawa peperangan di Ukraine akan mencetuskan krisis pertanian yang belum pernah berlaku sejak Perang Dunia Kedua.
Ukraine dan Russia menghasilkan 30 peratus daripada bekalan gandum serta 20 peratus jagung di peringkat dunia.
Pada 2020, Malaysia mengimport gandum bernilai RM1.46 bilion dan menjadi pengimport ke-38 terbesar dunia bagi komoditi itu dan bahan makanan itu juga merupakan produk ke-109 paling banyak diimport oleh negara itu.
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Malaysia mengimport 80 peratus biji gandum dari Australia manakala selebihnya dari Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!