Baling: Tandak takungan pecah dipercayai punca kepala air

Tinjauan penduduk mendapati tandak takungan yang membekalkan air masyarakat ke dua buah kampung telah pecah.
Tinjauan penduduk mendapati tandak takungan yang membekalkan air masyarakat ke dua buah kampung telah pecah.
A
A
A

ALOR SETAR - Beberapa kolam takungan air paip masyarakat (tandak takungan) didapati pecah dan dipercayai menyumbang kepada pembentukan kepala air yang melanda daerah Baling pada petang Isnin.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tinjauan penduduk kampung ke tandak takungan di Gunung Inas yang membekalkan air masyarakat ke Kampung Carok Kapas dan Kampung Carok Rotan Mas mendapati ia telah pecah dalam tragedi tersebut.

Menurutnya, keadaan ini berlaku disebabkan oleh tandak takungan berkenaan hilang upaya untuk menakung air yang banyak dan laju.

"Situasi yang berlaku itu tidak terakam dalam gambar udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pagi Selasa," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Muhammad Sanusi tidak menolak kemungkinan terdapat tandak takungan air masyarakat ke kampung lain juga mengalami situasi yang sama.

"Takungan pecah seumpama ini akan menyumbang kepada pembentukan kepala air, seterusnya melimpah ke kawasan kaki gunung," katanya lagi.

Dalam sidang media pada Selasa, Muhammad Sanusi memaklumkan, projek tanaman durian musang king di puncak Gunung Inas tidak boleh dianggap sebagai punca utama berlaku kejadian banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Kupang.

Tandak takungan pecah antara punca berlakunya limpahan air yang membentuk fenomena kepala air.
Tandak takungan pecah antara punca berlakunya limpahan air yang membentuk fenomena kepala air.

Menurutnya, kejadian tersebut mempunyai persamaan dengan tragedi kepala air yang berlaku di Yan pada tahun lalu.

Katanya lagi, imej dirakam dari helikopter JBPM pada awalnya mendapati tandak yang dibina penduduk dan pengusaha tanaman durian tidak pecah namun dipenuhi pasir.

Kemungkinan aliran air yang membentuk kepala air adalah air yang terkumpul di alur sepanjang Gunung Inas sebelum mengalir serentak ke bawah.

Sebelum ini, penduduk Kampung Iboi mendakwa kejadian itu mempunyai kaitan dengan projek tanaman durian seluas kira-kira 1,200 hektar yang diusahakan di puncak Gunung Inas sejak 2018.

Lebih 17 buah kampung terjejas oleh banjir lumpur akibat berlakunya kepala air di puncak Gunung Inas selepas hujan lebat kira-kira tiga jam pada petang Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!