Kerjasama pelbagai agensi bukti kerajaan tangani sekuriti makanan
KUALA LUMPUR - Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) pada pertengahan bulan lepas memberikan bayangan tentang komitmen tinggi kerajaan dalam menangani ancaman sekuriti makanan yang kini dihadapi oleh negara.
Antara lain, kerajaan pada mesyuarat itu menggembleng semua pihak termasuk kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta dalam usahanya memastikan risiko ancaman tidak melebar dan menjejaskan rantaian bekalan makanan kepada rakyat.
Menyifatkan pendekatan yang diambil oleh kerajaan itu sebagai tepat, pakar yang dihubungi Bernama berkata, penggabungan kepakaran, pengalaman dan peranan agensi serta syarikat berkaitan akan dapat mengoptimumkan usaha mencari penyelesaian komprehensif bagi isu tersebut.
"Penekanan di sini adalah pada masalah penawaran dan permintaan yang kini dilihat tidak seimbang. Ketidakseimbangan ini akan menyebabkan pengguna sukar mendapatkan bekalan makanan,” kata Dr Ariff Azly Muhamed, pensyarah kanan di Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara.
Ulas beliau lagi, menerusi pendekatan itu, kerajaan bukan sahaja mahu menangani masalah bekalan makanan semasa tetapi juga memastikan jaminan makanan pada masa akan datang.
Kerjasama persekutuan dan negeri
Ini katanya, boleh dilihat menerusi usaha menambah keluasan tanah bagi kegunaan aktiviti pertanian sebagai langkah strategik jangka panjang dalam memperkasa sekuriti bekalan makanan negara.
"Secara logiknya, pewartaan lebih banyak tanah pertanian sebagai tanah rizab melalui Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) dan memajakkannya kepada GLC kerajaan negeri selama 10 hingga 21 tahun akan memberi lebih kuasa kepada kerajaan negeri untuk memajakkan tanah tersebut kepada usahawan tani.
"Diharap dengan langkah sinergi di antara kerajaan persekutuan dan negeri dapat menjadi satu titik permulaan negara dalam mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan makanan import,” kata beliau dan menambah buat masa ini statistik menunjukkan 30 hingga 40 peratus keperluan beras negara ditampung oleh import.
Pada masa sama, kerjasama di antara kerajaan pusat dan negeri itu juga dapat melahirkan lebih ramai usahawan tani selain meningkatkan pengeluaran hasil tani negara.
Sinergi di antara kerajaan persekutuan dan negeri berhubung penggunaan tanah untuk pertanian itu adalah antara inisiatif yang dipersetujui pada mesyuarat bersama menteri besar, ketua menteri dan jemaah menteri baru-baru ini.
Perkasakan penyelidikan
Mengulas lanjut, Ariff Azly berkata, sinergi di antara agensi berkaitan dan pihak berkepakaran termasuk institusi pengajian tinggi juga boleh diperkasakan lagi menerusi pelbagai penyelidikan menyeluruh termasuk dari segi penggunaan teknologi selain bersama-sama mencari pendekatan terbaik bagi meningkatkan pengeluaran sumber makanan.
Katanya, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar contohnya, boleh memperkukuh kerjasama dengan pensyarah dan penyelidik daripada universiti tempatan dalam menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan makanan haiwan daripada sumber tempatan.
Selain itu, kepakaran dalam negara juga perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memaksimumkan pengeluaran makanan negara sepertimana yang dilaksanakan di Jepun, di mana kerajaannya bekerjasama dengan institusi penyelidikan serta universiti negara tersebut.
"Ketika ini industri ternakan negara masih lagi bergantung pada makanan haiwan yang diimport dari luar negara, dan menerusi inisiatif ini kita akan dapat merangka satu model rantaian bekalan makanan yang lebih menyeluruh dalam memastikan kestabilan penawaran dan permintaan bekalan makanan negara,
"Di Jepun, kerjasama dengan institusi penyelidikan dan universiti di negara itu melalui teknologi telah memaksimumkan hasil sektor pertanian, dan ini sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan... (langkah sama) yang perlu diambil oleh kerajaan Malaysia dalam memastikan kelestarian sekuriti makanan negara untuk jangka masa panjang,” tambahnya.
Koordinasi wujudkan situasi menang-menang
Turut senada, Timbalan Dekan Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Helmi Ali menyifatkan koordinasi pemain industri dapat membentuk hubungan saling melengkapi dengan impak menang-menang yang akhirnya akan menyelesaikan isu sekuriti makanan negara.
Beliau berkata, integrasi maklumat dalam kalangan pihak berkepentingan secara tidak langsung dapat mengubah rantaian bekalan yang selama ini mungkin didominasi oleh pihak tertentu, selain membuka lembaran baharu dalam industri makanan yang berteraskan kepada sekuriti makanan dan bukan keuntungan semata-mata.
"Amalan produksi makanan yang dilakukan secara silo dan juga berteraskan keuntungan semata-mata berkemungkinan menguntungkan pihak yang lebih proaktif dan mempunyai daya inovasi yang tinggi sahaja.
"Lebih-lebih lagi majoriti pemain industri makanan terdiri daripada syarikat bertaraf kecil dan sederhana seperti pekebun dan penternak yang mempunyai kemampuan sangat terhad termasuk dari segi kewangan. Oleh itu, kekuatan yang dimiliki oleh GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) boleh membantu menaik taraf dan memperkasa syarikat-syarikat kecil ini bagi memastikan pengeluaran sumber makanan ke tahap optimum," katanya.
Koordinasi antara pemain industri, GLC dan GLIC itu turut ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai usaha memperluas ekosistem agromakanan dan rantaian bekalan.
Ismail Sabri berkata, koordinasi itu akan dapat memastikan kualiti, kuantiti dan pengeluaran hasil ke tahap optimum selain memastikan bekalan makanan terjamin.
"Bagi memenuhi matlamat menangani isu sekuriti makanan, agensi kerajaan boleh menjadi penggerak utama program dan inisiatif kerajaan, namun ia perlulah berdasarkan pencapaian berperingkat jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang selain perlu dikawal selia lebih efektif,” tambah Mohd Helmi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!