[VIDEO] Suspek tikam ibu direman tujuh hari
MELAKA - Seorang lelaki yang disyaki menikam ibunya hingga maut dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu di sini pada Selasa direman selama tujuh hari.
Perintah reman bermula Rabu sehingga Selasa depan terhadap lelaki berusia 38 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Mazana Sinin.
Suspek berbaju lokap ungu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.45 pagi dengan menaiki kenderaan polis.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan seorang pesakit mental tergamak menikam ibunya yang juga pesara guru sehingga mati selepas dipercayai terdengar bisikan menyuruh membunuh dalam kejadian di Kampung Paya Laboh di sini pada Selasa.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 38 tahun dan berstatus duda menikam ibunya, Rozizah Md Dom, 63, menggunakan pisau pemotong sayur sepanjang 26 sentimeter (cm) dalam bilik tidur selepas mangsa keluar dari bilik air.
Menurutnya, dua tikaman itu menyebabkan mangsa yang baharu kehilangan suami bulan lalu mengalami cedera parah pada leher kanan dan kiri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Suspek mendakwa bertindak sedemikian selepas terdengar bisikan yang menyuruhnya menikam mangsa kerana ibunya dikatakan menyembah berhala," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!