Banjir di Baling: Selangor hantar 209 anggota PBT, sukarelawan
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menghantar seramai 209 anggota yang terdiri daripada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sukarelawan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) untuk membantu mangsa banjir di Baling, Kedah pada Rabu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selain daripada tenaga manusia, lebih 33 jentera merangkumi lori Roll-On-Roll-Off (RORO), kenderaan pacuan empat roda, jentolak dan 112 peralatan untuk pembersihan daripada Skuad Pantas Selangor turut dihantar ke sana.
Menurutnya, pasukan tersebut akan berada di 12 lokaliti banjir di Baling, Kedah bermula Rabu hingga Jumaat bagi kerja-kerja mengalihkan pokok, membuka jalan terputus dengan kerja fizikal dan sebagainya.
"Kita harap sokongan yang diberikan ini mampu mengurangkan beban sahabat-sahabat kita di Kedah dan juga sebagai tanda persediaan negeri Selangor berdepan dengan pelbagai cabaran yang mendatang.
"Anggap ini sebagai latihan lapangan yang mungkin berlaku di negeri kita dan telah berlaku dan pernah pernah berlaku pun pada tahun lepas. Ini adalah persediaan kita menjelang musim tengkujuh yang akan datang pada hujung tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Pelepasan Konvoi Misi Selangor Penyayang: Bantuan Pasca Banjir Baling Kedah di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, bantuan kewangan akan turut diumumkan dalam masa terdekat, namun buat masa ini pihaknya ingin memberi fokus kepada kerja-kerja pembersihan dan pemulihan kawasan terjejas akibat banjir terlebih dahulu.
"Belum diputuskan (bantuan mangsa banjir di Baling, Kedah) mungkin akan dibincangkan. Kalau ada mungkin saya akan turun tetapi kita tengok tentang waktu sesuai.
"Fokus kita bukan dari segi sokongan kewangan, tetapi bagaimana kita segera pulihkan keadaan supaya penduduk boleh pulang dan selepas itu baru kita umumkan nanti," katanya.
Sementara itu, Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman turut mengalu-alukan belia yang berminat untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan tersebut menerusi MSNS.
Menurutnya, setakat ini seramai lebih 300 orang belia mendaftar bagi menyertai misi bantuan tersebut.
"Belia yang berminat untuk menyertai bantuan kemanusiaan ini boleh mendaftar dengan MSNS supaya kita boleh uruskan koordinasi pergerakan di sana nanti.
"Saya harap sukarelawan dari Selangor dapat menyertai pasukan dari MSNS kerana kita tidak mahu ada sukarelawan lain pergi di lokaliti atau tidak fokus ke kawasan yang memerlukan perhatian, apalagi ia melibatkan lebih 1,400 keluarga terjejas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!