KLCAH cadang 9 resolusi tambah baik kesejahteraan rakyat
SHAH ALAM - Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perhimpunan Cina (KLCAH) yang berlangsung pada Sabtu membuat sembilan resolusi melibatkan politik, sosial dan ekonomi bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat di negara ini.
Presiden KLCAH, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, sembilan resolusi itu adalah menyeru kerajaan menstabilkan ekonomi dan menjadi kerajaan untuk rakyat; kerajaan perlu mendengar suara rakyat dalam merangka belanjawan negara; menyokong pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST); mempercepatkan pengambilan pekerja asing dan mempertahankan majmuk dengan menolak pemikiran ekstremis.
Resolusi lain adalah menyeru kerajaan untuk menstabilkan dasar monetari dan mengelakkan kehilangan kelebihan daya saing di pasaran antarabangsa; menyokong pendidikan untuk membentuk semula masa depan negara; mempertahankan kepelbagaian bahasa dan juga menyokong pengajian bahasa Melayu dan menyokong tindakan tegas pihak berkuasa terhadap jenayah penipuan yang semakin meningkat ketika ini.
“Semua ahli yang menghadiri mesyuarat kali ini juga sebulat suara meluluskan semua memorandum, termasuk menjemput lebih banyak persatuan untuk menyertai keluarga besar KLCAH.
“Tujuan menjemput lebih banyak persatuan atau kumpulan menyertai KLCAH adalah untuk mengumpulkan lebih banyak parti yang mengambil berat tentang masyarakat dan negara, membentuk suara yang lebih lantang dan berkesan untuk masyarakat Cina bukan sahaja di Kuala Lumpur, tetapi di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat pertambahan 17 persatuan yang menyertai dewan itu, menjadikan jumlah keseluruhan adalah 83 ahli persatuan ketika ini.
Ujarnya, KLCAH menyasarkan penyertaan lebih 100 ahli persatuan menjelang akhir tahun ini.
Secara keseluruhan lebih 150 ahli menyertai mesyuarat tahunan kali ini dan mereka yang hadir termasuklah Pengasas, Datuk Liew Poon Siak, Penasihat Kehormat, Tan Sri Datuk Tee Hock Seng, Tan Sri Panglima Lee Lam Thye, Datuk Seri Michael Chong, Datuk Seri How Kok Choong, Datuk Seri Ng Thien Phing dan Penasihat Undang-undang Datuk Michael Wong Meng San.
“Walau apa pun, rakyat tidak seharusnya melihat keadaan semasa terlalu pesimis dan tidak mengamalkan sikap negatif termasuklah tidak mengundi dalam pilihan raya negara akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!