Suami isteri didakwa miliki 53 keping wang palsu
BUKIT MERTAJAM - Seorang peniaga dan isterinya yang hamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan memiliki 53 keping wang kertas RM100 palsu.
Muammar Raid Abdul Malik, 33, dan Nadia Mohamed Hussain @ Brian Michael Lewis, 27, didakwa melakukan perbuatan itu di PMT 30, Mukim 8, Jalan Muthupalaniappan, Sunway Wellesley, Bukit Mertajam pada jam 11.30 malam, 29 Jun lepas.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri dua minggu sekali kepada pegawai penyiasat kes.
Mahkamah menetapkan 11 Ogos untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor, Mohamad Syarafuddin Mamat Mokhtar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!